Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pempengaruh Ditahan, Disyaki Rancang Penculikan Palsu Untuk Raih “Followers”
Hanya kerana ingin mendapatkan lebih ramai pengikut dan perhatian, seorang pempengaruh wanita sanggup merancang menculik diri sendiri sehingga memakan diri, lapor Mirror UK.
Monniky Fraga, 27, mendakwa dia dan suaminya, Lucas Fraga diserang hendap oleh tiga lelaki bersenjata di luar kediaman mereka di Igarassu, Brazil pada April 2025.
Bagaimanapun, hampir setahun selepas kejadian itu, dia ditahan dalam satu serbuan awal pagi oleh pihak polis.
Difahamkan, suaminya yang dipukul dan dirompak tidak menyedari tahu mengenai rancangan terbabit.
Ketika kejadian, Fraga memaklumkan kepada lebih 48,000 pengikutnya bahawa insiden tersebut merupakan pengalaman yang amat menakutkan.

Dalam sebuah video, dia mendakwa kumpulan terbabit mengugut untuk menyeksa mereka sekiranya wang tebusan tidak dibayar, selain Lucas turut dipukul ketika mereka menyerahkan barangan milik mereka.
Pasangan itu juga didakwa dibawa ke kawasan hutan, ditahan selama beberapa jam sebelum dibebaskan selepas wang tunai diserahkan.
Pihak polis kini percaya Fraga merancang sendiri penculikan tersebut bagi meraih perhatian media, selepas beliau turut memperoleh liputan di beberapa saluran media untuk menceritakan kisahnya.
Detektif Cley Anderson memberitahu media tempatan bahawa berdasarkan perkembangan siasatan, terdapat petunjuk yang menunjukkan dakwaan penculikan bagi tujuan wang tebusan itu sebenarnya merupakan satu rancangan antara ‘mangsa’ yang didakwa dan salah seorang pelaku.
Seramai 30 anggota polis terlibat dalam operasi yang dinamakan ‘Smokescreen of Likes’ itu.
Menurut pihak berkuasa, selain Fraga, tiga individu lain turut dipercayai terlibat dalam penculikan palsu berkenaan.

Detektif Cley Anderson berkata siasatan mendapati Fraga bukan sahaja mengetahui mengenai kejadian tersebut, malah telah bersetuju terlebih dahulu dan terus berhubung dengan salah seorang individu yang terlibat selepas insiden itu.
Peguam Fraga telah memohon agar dia dibebaskan daripada tahanan dan ditempatkan di bawah tahanan rumah, dengan alasan mempunyai anak kecil.
Fraga bagaimanapun menegaskan bahawa dirinya benar-benar telah diculik.
Menurut Mirror UK, pempengaruh tersebut dijangka berdepan pertuduhan berkaitan pemerasan, mengganggu proses keadilan dan membazirkan masa pihak polis.