Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pencarum LINDUNG 24 Jam Boleh Pilih Tidak Meneruskan Skim Mulai Isnin

Pencarum
Kredit: Bernama

Pencarum LINDUNG 24 Jam Boleh Pilih Tidak Meneruskan Skim Mulai Isnin

Pencarum yang tidak berhasrat untuk meneruskan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) boleh memilih untuk dikecualikan (opt-out) dengan melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, susulan keputusan Jemaah Menteri dan arahan Menteri Sumber Manusia, kemudahan opt-out itu akan disediakan secara dalam talian mulai Isnin ini.

Keputusan Kabinet itu mengubah dasar LINDUNG 24 Jam yang sebelum ini diwajibkan kepada pekerja tempatan, manakala pelaksanaannya kekal mandatori bagi pekerja asing.

Dr Mohammed Azman berkata, perakuan pelepasan liabiliti itu akan menjadi asas perundangan sekiranya berlaku sebarang pertikaian pada masa hadapan, khususnya membabitkan kemalangan di luar waktu kerja.

"Memandangkan LINDUNG 24 Jam ini dikuatkuasakan menurut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), pencarum yang ingin opt-out daripada LINDUNG 24 Jam perlu menandatangani perakuan pelepasan liabiliti untuk dikecualikan daripada pemakaian akta ini.

"Ini bagi memastikan tiada sebarang implikasi perundangan di bawah Akta 4 sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan kepada pencarum di luar waktu kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun dasar itu diubah, beliau menggalakkan pekerja tempatan untuk terus mencarum di bawah LINDUNG 24 Jam kerana skim berkenaan mampu memberikan jaminan kesinambungan kehidupan melalui gantian pendapatan sekiranya ditimpa musibah di luar waktu bekerja.

Beliau berkata, kadar caruman yang rendah berbanding premium perlindungan sedia ada di pasaran tidak seharusnya dianggap sebagai beban, sebaliknya menjadi jaminan kepada keluarga apabila berdepan musibah yang tidak diduga.

Menurut beliau, statistik PERKESO menunjukkan purata 27 kes sehari direkodkan bagi penyaluran faedah LINDUNG 24 Jam, dengan hampir RM2 juta disalurkan sepanjang tempoh sebulan skim itu berkuat kuasa.

Katanya, jumlah itu lebih tinggi berbanding purata 13 permohonan sehari yang terpaksa ditolak PERKESO sepanjang 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, sekali gus mencerminkan keberkesanan LINDUNG 24 Jam dalam membantu menjamin kelangsungan hidup pencarum dan waris.

"Justeru, faedah yang disediakan melalui caruman berkadar rendah ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia merupakan sandaran utama apabila bencana menjejaskan kehidupan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata perubahan dasar itu berkemungkinan memberi kesan terhadap kemapanan dana serta keberkesanan penyaluran faedah dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, PERKESO bersama Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan kajian semula terhadap mekanisme pelaksanaan LINDUNG 24 Jam menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata, PERKESO akan terus mempergiat usaha penyampaian maklumat yang jelas dan tepat supaya setiap pekerja memahami manfaat LINDUNG 24 Jam sebelum membuat keputusan demi masa depan diri dan keluarga.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, PERKESO kekal berpegang teguh kepada misi memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara tanpa mengetepikan suara serta kebajikan pencarum," katanya.