Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pendeposit TH Dengan Simpanan RM15,000 Layak Masuk Giliran Haji Secara Automatik

Pendeposit TH
Kredit: Bernama

Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mencapai simpanan minimum RM15,000 akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran haji tanpa perlu melalui proses pendaftaran secara manual.

Bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum tersebut.

Perkara itu merupakan antara ciri utama Pelan Persediaan Haji - Seruan Istito’ah yang diperkenalkan TH pada Jumaat bagi membantu pendeposit membuat persediaan menunaikan ibadah haji secara lebih sistematik, mudah dan terancang.

Pendeposit TH automatik layak jika ada simpanan RM15,000

Menurut TH, sistem baharu itu akan menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada tanpa menjejaskan prinsip first-come, first-served.

Bagi pendeposit yang telah berdaftar, mereka diberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000.

“Bermula 1 Januari 2029, giliran Haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000. Pendekatan Ini mewujudkan proses yang lebih mudah, adil dan lancar, di samping mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten.

“Ia juga selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan giliran haji yang lebih telus, adil dan mampan,” kata TH dalam satu kenyataan media.

TH berkata langkah itu diperkenalkan selepas mendapati secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran haji terpaksa menangguhkan hasrat mereka.

Bagaimanapun, selepas syarat baki minimum RM15,000 diperkenalkan pada 2025, kadar penangguhan dilaporkan menurun kepada 18 peratus.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata pihaknya telah mendengar maklum balas daripada pendeposit di seluruh negara.

“Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun.

“Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji,” katanya.

Selain itu, TH turut memperkenalkan Tabung Istito’ah mulai 19 September bagi membantu pendeposit membentuk disiplin simpanan dengan lebih terancang.

Menerusi kemudahan Multi Tabung, setiap pendeposit akan mempunyai Tabung Am dan Tabung Istito’ah dalam satu akaun TH.

Tabung Am digunakan bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti biasa, manakala Tabung Istito’ah diwujudkan khusus untuk membantu pendeposit menyimpan secara sukarela dan lebih berfokus ke arah persediaan menunaikan haji.

“Melalui pendekatan yang lebih tersusun ini, perjalanan menuju Haji menjadi lebih berdisiplin, sistematik dan boleh dicapai. Pendeposit sedia ada juga diberikan tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

Intipati
  • Pendeposit TH dengan simpanan RM15,000 akan layak automatik menyertai giliran haji mulai 2029.
  • Giliran haji akan disusun berdasarkan tarikh pendaftaran dan pencapaian baki simpanan minimum.
  • TH turut memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu pendeposit menyimpan lebih terancang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan