Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pengabaian Isu Kesihatan Mental Malaysia Boleh Merugikan Produktiviti Menjelang 2030

Syamimi
PENGABAIAN
Sumber : Laporan Nilai Kesihatan Mental

Pengabaian Isu Kesihatan Mental Malaysia Boleh Merugikan Produktiviti Menjelang 2030

Masalah kesihatan mental membawa kepada risiko ekonomi yang besar namun sering dipandang rendah. Impaknya telah dirasai jauh lebih awal sebelum ia kelihatan dalam sistem kesihatan atau perbelanjaan awam.

Di beberapa negara, dianggarkan sekitar satu daripada tiga orang dewasa dalam usia bekerja akan mengalami masalah kesihatan mental menjelang 2030, dengan impak keseluruhan terhadap produktiviti hampir mencecah lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

The Value of Mental Health oleh Zurich Insurance Group (Zurich) menunjukkan bahawa kos terbesar berkaitan penyakit mental berlaku di luar sistem perlindungan formal. Di enam negara yang dikaji iaitu Australia, Chile, Jerman, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom (UK), beban ini lazimnya ditanggung oleh individu, keluarga serta majikan melalui kehilangan kesejahteraan hidup dan produktiviti yang jauh melebihi perbelanjaan kesihatan mental negara.

Situasi ini turut ketara di peringkat tempatan, apabila lebih daripada empat juta rakyat Malaysia dijangka mengalami masalah kesihatan mental menjelang 2030, dengan kerugian produktiviti diunjurkan mencecah RM34 bilion, bersamaan 1.4% daripada KDNK. 

“Apabila cabaran kesihatan mental semakin memberi kesan kepada ekonomi secara menyeluruh, adalah penting bagi syarikat memainkan peranan dalam membina sistem perlindungan yang kukuh. Berdasarkan pengalaman kami, kira-kira satu pertiga daripada kakitangan yang bekerja di syarikat pelanggan kami yang menerima bantuan awal melalui perkhidmatan pemulihan Zurich dapat kekal bekerja, berbanding meninggalkan pekerjaan mereka sepenuhnya."

"Oleh itu, pihak majikan perlu bertindak lebih awal bagi mengelakkan tekanan awal daripada berkembang menjadi masalah jangka panjang yang membawa kepada pengunduran daripada kerja dan kehidupan sosial,” kata Alison Martin, Ketua Pegawai Eksekutif Hayat, Kesihatan dan Pengedaran Bank

“Di Malaysia, penyakit mental masih sering ditangani secara senyap. Ramai hanya mendapatkan bantuan apabila keadaan menjadi terlalu sukar untuk diabaikan. Intervensi awal memberikan perbezaan yang besar terutamanya dalam membantu individu kekal terlibat dengan pekerjaan, keluarga dan kehidupan harian,” kata Lee Han Boon, Ketua Pegawai Pengurusan Penawaran (Segmen Hayat) Zurich Malaysia.

Beban yang dirasai terlebih dahulu oleh individu dan keluarga

Di negara-negara yang dikaji, individu yang hidup dengan masalah kesihatan mental dijangka kehilangan antara 60 hingga 67 hari kehidupan sihat setiap tahun. Pada peringkat nasional, ini bersamaan dengan 0.3 hingga 2.9 juta tahun kehidupan sihat yang hilang setiap tahun bagi setiap negara, iaitu sekitar 7% hingga 14% daripada keseluruhan kehilangan kesejahteraan hidup bagi semua punca.

Beban ini setanding dengan keseluruhan kes kanser (sekitar 6% hingga 19%) di kebanyakan negara. Di Malaysia, individu yang mengalami masalah kesihatan mental dianggarkan kehilangan purata 62.5 hari kehidupan sihat setiap tahun menjelang 2030, manakala kesan keseluruhan terhadap kesejahteraan hidup diunjurkan hampir mencecah RM109 bilion. 

Apabila sistem rasmi sukar memberikan respons awal, tanggungjawab penjagaan semakin beralih kepada keluarga dan komuniti. Bergantung kepada negara, beban ini boleh mencecah hingga 1,275 jam penjagaan tidak formal setiap tahun.

Perkara ini merupakan satu beban yang besar tetapi sering tidak kelihatan dan jarang direkodkan dalam statistik rasmi. Di Malaysia, situasi ini amat ketara apabila keluarga dan penjaga perlu mengorbankan lebih daripada 123 juta jam penjagaan tanpa bayaran berkaitan kesihatan mental menjelang 2030, bersamaan nilai anggaran sekitar RM3 bilion.

Jurang kadar bekerja yang semakin meningkat

Kesan ekonomi terbesar bukan berpunca daripada cuti sakit jangka pendek, tetapi daripada jurang kadar bekerja yang semakin meningkat iaitu perbezaan kadar bekerja antara individu yang mengalami masalah kesihatan mental dan mereka yang tidak mengalaminya.

Di kebanyakan negara, individu dengan masalah kesihatan mental mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk bekerja kerana mereka sering berhenti kerja, menghadapi kesukaran untuk kembali bekerja, atau langsung tidak memasuki pasaran pekerjaan.

Jurang ini lebih ketara apabila masalah kesihatan mental berlaku lebih awal dalam kehidupan. Di beberapa negara, keadaan ini dikenal pasti sebelum atau ketika memasuki pasaran kerja, sekali gus meningkatkan risiko yang boleh menjejaskan pekerjaan pertama, pembentukan kemahiran dan penglibatan jangka panjang dalam tenaga kerja.

Di sesetengah negara, jurang ini mencecah hingga 29%. Manakala di Malaysia, individu dengan masalah kesihatan mental dianggarkan 18% kurang cenderung untuk bekerja berbanding mereka yang tidak mengalaminya, dengan kadar yang bekerja masing-masing sebanyak 56% berbanding 74%. 

Seiring dengan perkembangan automasi dan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah laluan kerjaya dengan mengurangkan tugas-tugas rutin dan meningkatkan keperluan kemahiran, tekanan ini dijangka semakin meningkat.

Justeru, bantuan awal, laluan kerjaya yang fleksibel serta daya tahan ketika peralihan kerjaya menjadi semakin penting bagi mengelakkan tekanan sementara bertukar menjadi pengunduran jangka panjang daripada pasaran kerja. Cabaran ini amat relevan di Malaysia, yang mana pengunduran daripada pasaran kerja menyumbang kepada 95% daripada keseluruhan kerugian produktiviti berkaitan masalah kesihatan mental.

Kepentingan tindakan awal

Di seluruh pasaran kerja, pola yang jelas dapat dilihat: kesedaran semakin meningkat, namun bantuan sering diberikan terlalu lewat, lazimnya selepas tekanan mula menjejaskan fungsi harian, menyebabkan ketidakhadiran atau pengunduran daripada kerja. Pada ketika itu, kos bukan sahaja ditanggung oleh sistem kesihatan, malah turut melibatkan individu, keluarga dan majikan. 

Laporan ini menekankan kepentingan tindakan awal. Antaranya termasuk akses lebih pantas dan proses saringan yang lebih baik, laluan praktikal untuk kekal bekerja serta kembali bekerja, dan pengurangan beban tersembunyi yang dipindahkan kepada keluarga serta tempat kerja apabila sokongan formal gagal diberikan.

Di Malaysia, keperluan ini semakin mendesak memandangkan empat daripada lima individu yang mengalami gangguan mental mungkin tidak mendapatkan rawatan profesional, manakala 42% kos rawatan ditanggung sendiri oleh individu.

Di semua negara dan model yang dikaji, mesej yang diperoleh adalah konsisten iaitu tindakan awal mampu mengelakkan tekanan jangka pendek bertukar menjadi pengunduran jangka panjang, di samping melindungi kesejahteraan hidup, penyertaan dan daya tahan individu.

Hal ini amat penting dalam konteks di Malaysia, apabila bantuan hanya sering dicari setelah simptom menjadi lebih serius, sekali gus menambah beban terhadap isi rumah, tempat kerja dan ekonomi secara keseluruhan.

Laporan The Value of Mental Health menganalisis data awam bagi menilai kesan semasa dan masa hadapan masalah kesihatan mental di Australia, Chile, Jerman, Malaysia, UAE serta UK, yang mewakili pasaran membangun dan maju.

Laporan ini mengukur kesan terhadap individu, produktiviti dan sistem perlindungan hingga tahun 2030, menggunakan metrik seperti tahun kehidupan sihat yang hilang, jurang penyertaan dalam tenaga kerja dan kos pada peringkat sistem.

Laporan The Value of Mental Health boleh didapati di sini.