Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pengarah Doraemon, Tsutomu Shibayama Meninggal Dunia

Pengarah Doraemon, Tsutomu Shibayama
Kredit: The Economic Times/AFP/Miao Jian/IC PHOTO/IMAGINECHINA

Pengarah Doraemon, Tsutomu Shibayama Meninggal Dunia

Pengarah siri anime Doraemon dan Chibi Maruko Chan, Tsutomu Shibayama telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun.

Menurut CNBC, berita duka itu disampaikan oleh studio Shibayama, Ajia-do Animation Works.

Shibayama yang disahkan menghidap barah paru-paru dilaporkan meninggal dunia pada 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, berita pemergiannya hanya diumumkan pada 17 Mac selepas upacara pengebumian tertutup diadakan.

Difahamkan, upacara berkenaan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.

Kredit: DANIEL CENG / ANADOLU / ANADOLU VIA AFP

Menurut kenyataan rasmi studio itu, Shibayama merupakan pengarah animasi yang bertanggungjawab menyelia siri Doraemon selama lebih 20 tahun.

“Shibayama Tsutomu, pengarah animasi yang menyelia siri Doraemon selama lebih dua dekad, meninggal dunia pada 6 Mac akibat barah paru-paru,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, pihak studio turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada mendiang sepanjang hayatnya.

“Semua kakitangan kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala kebaikan dan sokongan yang anda berikan kepada beliau sepanjang hayatnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Kredit: YAN YAN / IMAGINECHINA / IMAGINECHINA VIA AFP

Legasi Tsutomu Shibayama

Dilahirkan pada 9 Mac 1941, Shibayama merupakan seorang pengarah anime terkenal Jepun yang paling dikenali menerusi pengarahannya dalam siri Doraemon selama lebih dua dekad.

Di Jepun, Tsutomu Shibayama sering digelar sebagai ‘Bapa Animasi Kebangsaan’.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah utama bagi siri televisyen Doraemon.

Shibayama mengarahkan siri Doraemon versi 1979 yang mendapat sambutan luar biasa serta digemari pelbagai generasi.

Setelah itu, beliau mengarahkan sebanyak 22 lagi filem Doraemon.

Filem terakhir arahannya merupakan Doraemon the Movie: Nobita in the Wan-Nyan Spacetime Odyssey pada tahun 2004.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang animasi pada tahun 1962 di studio animasi terkenal Jepun, Toei Animation.

KRedit: KITTY ANIMATION - KITTY FILMS - / COLLECTION CHRISTOPHEL VIA AFP

Kemudian, beliau terlibat dalam beberapa siri popular di A Production, yang kini dikenali sebagai Shin-Ei Animation.

Selain Doraemon, Shibayama turut mengarahkan karya lain seperti Ranma 1/2 versi asal tahun 1989, Chibi Maruko-chan, dan Nintama Rantaro.

Beliau juga berperanan sebagai pengarah animasi dalam siri seperti Dokonjo Gaeru dan Ganso Tensai Bakabon.

Bersama Osamu Kobayashi dan Michishiro Yamada, beliau mengasaskan Ajia-do Animation Works pada tahun 1978.

Atas sumbangannya dalam industri animasi, beliau menerima Anugerah Agensi Hal Ehwal Kebudayaan Jepun pada tahun 2012.

Selain itu, beliau turut dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Tokyo Anime Award Festival pada tahun 2018.

Sumber:CNBCTV18