Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Kalau Ini Ramadan Terakhir,” Surat Titipan KA Runtun Hati Ramai

SURAT TITIPAN KA
Kredit: Khairul Aming

Tirai Ramadan tahun ini dilabuhkan dengan surat titipan KA buat semua.

Selepas hampir setiap hari warga maya dihujani pelbagai resipi masakan pencipta kandungan kesayangan ramai, Khairul Aming, kini penghujungnya telah tiba.

Dalam muat naik terkini media sosial peribadinya, pempengaruh yang lebih mesra dipanggil KA mengumpulkan semula koleksi rakaman percubaan ‘pelajar’ kelas memasaknya.

“Maka dengan ini berakhirlah sesi pembelajaran kita untuk tahun ni. Walaupun kita harap pelajar tahun ni lebih bagus daripada tahun lepas, rupanya tanggapan itu sangatlah salah.

“Berbekalkan sakit kepala dan darah tinggi, saya persembahkan kepada semua, pelajar-pelajar puasa 2026,” usiknya.

Kredit: Khairul Aming

Menerusi rakaman tersebut, ‘pelajar’ diletakkan dalam beberapa kategori tersendiri. Ada yang berada dalam kelas tercorot, ada pula yang berada dalam kelas paling tertekan.

Tidak kurang juga kategori pelajar kesayangan.

Kredit: Khairul Aming

Lebih menghiburkan, kehadiran ‘pakar bidang’ yang membimbing ‘pelajar’ juga membuat ramai tak kering gusi.

Kredit: Khairul Aming

Tidak dapat dinafikan, kehadiran semua pihak dari dalam serta luar negara tahun ini begitu memberangsangkan serta menceriakan suasana Ramadan.

Sebelum menutup tirai ‘kelas memasak’, KA dengan penuh penghargaan membacakan titipan senaskhah surat buat semua.

Surat titipan KA buat ‘pelajar’ Ramadan 2026

Kepada pelajar-pelajar semua, cikgu nak ucapkan terima kasih.

Sejujurnya saya ni segan tau orang panggil saya cikgu. Sebab aku mengajar korang pun daripada dapur bujang yang lantai bersepah macam ni.

Tapi korang gembira, KA pun gembira walaupun sebenarnya sangat-sangat penat buat video ni. Mungkin ada yang sedar, atau tak.

Kalau dulu KA buat video masak, yang aku boleh nampak cuma view, perkongsian dengan komen je. Rasa sunyi sikitlah.

Kredit: Khairul Aming

Sekarang lain dah, gembira sebab boleh tengok korang masak dekat rumah. Akhirnya, aku boleh turut serta kampung korang.

Yang mana masak tak jadi tu takpelah, tolak tepi. Kadang-kadang boleh darah tinggi dibuatnya, tapi perasan tak, puasa kita tahun ni meriah lain macam.

Ibarat macam kita merewang ramai-ramai tau. Tak kisahlah muda ke, tua ke, berbeza bangsa or agama, semua sama-sama gelakkan masakan masing-masing.

Surat aku ni pun bunyi macam nak pencen tapi ada betulnya juga. Tanpa kita sedar, ini mungkin Ramadan terakhir untuk sesetengah daripada kita, kita belum tahu benda tu.

Kredit: Khairul Aming

Kalau ini Ramadan terakhir KA, aku harap korang sambunglah kongsi ilmu ni sebab ramai lagi orang yang memerlukan.

Walaupun penat tidur dua tiga jam sehari, aku nak korang tahu, takde orang paksa saya buat benda ni.

Saya gembira sangat dah 9 tahun benda ni, takde duit atau siapa-siapa boleh kacau minat saya.

Korang tak tahu betapa bermaknanya video Ramadan ni untuk KA.

Terima kasih menjadi sebahagian daripada hidup saya. InsyaAllah kalau panjang umur, kita jumpa lagi.

Assalamualaikum.

Sumber:Threads