Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hentian R&R Seremban Dibenar Adakan Solat Sunat Aidilfitri

Azizah Najib
SOLAT RAYA aidilfitri R&R SEREMBAN
Kredit: Bernama/PLUS Malaysia

Hentian R&R Seremban Dibenar Adakan Solat Sunat Aidilfitri

Surau MADANI di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban menghala arah selatan kembali mencipta sejarah apabila pihak pengurusan mengumumkan surau berkenaan bakal mengadakan Solat Sunat Aidilfitri menjelang hari raya nanti.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook syarikat berkenaan, Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bakal didirikan pada 1 Syawal 1447H, jam 8.30 pagi.

Difahamkan, surau tersebut juga telah melaksanakan solat sunat tarawih pada 9 Mac yang lalu.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada warga kerja dan pengunjung di kawasan R&R untuk bersama-sama mengimarahkan surau serta menghidupkan malam Ramadan dengan solat tarawih secara berjemaah,” maklum kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak pengurusan turut mengambil peluang mengedarkan bubur lambuk kepada para pengunjung dan pekerja di sana.

Pertama di Malaysia, Surau MADANI di R&R laksana Solat Jumaat 

Terdahulu, Surau MADANI hentian ini juga menjadi surau hentian rehat pertama di Malaysia yang mendirikan Solat Jumaat.

Biarpun surau berkenaan hanya mampu menampung seramai 150 jemaah pada satu-satu masa, namun sambutan yang diterima begitu menggalakkan dengan kehadiran sekitar 300 jemaah ketika itu.

Menurut laporan RTM, 60 daripadanya merupakan pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, fasiliti berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kita memilih Seremban kerana jumlah pengguna yang datang ke sini agak ramai dan bilangan staf serta kakitangan yang bermastautin di kawasan ini juga mencukupi untuk kita laksanakan solat Jumaat.

“Kalau jumlahnya tidak mencukupi, sudah tentu kita tidak akan adakan kerana ia tidak memenuhi keperluan.

“Jadi, surau ini dipilih kerana kehadiran pengguna yang ramai dan adanya keperluan daripada semua pihak termasuk staf, rakan niaga dan pelanggan untuk kemudahan solat Jumaat di sini,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Datuk Nik Airina berkata mimbar, mihrab, sistem pembesar suara serta penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan) yang dianggotai oleh 93 pemastautin tetap berdaftar, terdiri daripada rakan niaga dan para pekerja di kawasan itu antara penambahan kemudahan yang dilakukan di lokasi berkenaan.

Sumber:Facebook