Utama

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Luar Biasa, Tandukan Penjaga Gol Benfica Benam Real Madrid
Kemenangan Benfica ke atas Real Madrid awal pagi ini menyaksikan momen menakjubkan di mana penjaga gol, Anatoliy Trubin, menjaringkan gol pada minit ke-98 di Estadio da Luz.
Keputusan 4-2 membawa pasukan kendalian Jose Mourinho itu ke pusingan play-off Liga Juara-Juara.
Benfica sebelum itu hampir tersingkir dengan cara yang menyayat hati, walaupun mendahului 3-2 dengan beberapa saat berbaki.
Namun, sepakan percuma memberi mereka peluang terakhir. Trubin dibawa naik ke kotak penalti dan penjaga gol Ukraine itu mengatur larian dengan sempurna untuk menanduk hantaran lintang tepat melepasi penjaga gol lawan, Thibaut Courtois.
Jaringan itu mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial.
Kemenangan tersebut merupakan kemenangan pertama Mourinho ke atas bekas pasukannya dan menyaksikan Benfica mara ke peringkat kalah mati walaupun tewas dalam empat perlawanan pertama mereka pada fasa liga.
Benfica sebelum tu ketinggalan selepas Real Madrid mendahului dengan jaringan hasil tandukan Kylian Mbappe.
Bagaimanapun, tuan rumah menyamakan kedudukan enam minit kemudian apabila Vangelis Pavlidis mengambil kesempatan daripada kesilapan Raul Asencio sebelum melintangkan bola kepada Andreas Schjelderup, yang menanduk masuk.
Benfica terus menguasai permainan dan mendahului tepat sebelum rehat separuh masa, dengan Pavlidis menyempurnakan sepakan penalti selepas Nicolas Otamendi dijatuhkan oleh Aurelien Tchouameni.
Keadaan bertambah baik buat pasukan Portugal itu selepas rehat apabila Schjelderup diberi terlalu banyak ruang dalam kotak penalti pelawat dan melepaskan rembatan yang menewaskan Courtois.
Mbappe merapatkan jurang buat pasukan kendalian Alvaro Arbeloa beberapa saat kemudian dengan penyudah kemas.
Peluang tercipta di kedua-dua hujung padang sebelum Asencio dibuang padang akibat menerima kad kuning kedua pada minit ke-92. Pemain gantian, Rodrygo, kemudian turut dilayangkan dua kad kuning kerana bantahan dalam tempoh beberapa saat, menyebabkan Madrid beraksi dengan sembilan pemain.
Namun, drama masih belum berakhir apabila Benfica menjaringkan gol penentuan dalam keadaan yang paling luar biasa.
Dengan Madrid menamatkan saingan di tempat kesembilan dan Benfica di tangga ke-24, kini terdapat peluang 50-50 untuk kedua-dua pasukan bertemu semula dalam pusingan play-off.