Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pensyarah Dedah Makna Tersirat Peribahasa Melayu Yang Jarang Didengari Ini

lahir dalam dulang emas
Kredit: ImageFX/Dr Zubir Idris

Lahir dalam dulang emas, bukan sekadar peribahasa

Tidak dinafikan, Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sangat indah dan menarik. Selain dari menjadi alat komunikasi seharian, ia juga merupakan cerminan jati diri dalam masyarakat.

Bukan itu sahaja, sejak dahulu lagi, bahasa ini juga menjadi wahana kepada penyampaian ilmu, adat serta nilai murni dalam masyarakat.

Keindahan Bahasa Melayu juga jelas terpancar melalui penggunaan peribahasa yang sarat dengan makna tersirat serta pengajaran hidup.

Justeru, artikel kali ini akan berkongsi makna dari salah satu peribahasa Melayu yang mungkin jarang didengari.

Ikuti perkongsian dari Dr. Zubir Idris, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

Peribahasa Lahir Dalam Dulang Emas

Peribahasa merupakan ayat atau kumpulan kata yang mempunyai susunan tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, biasanya merujuk kepada maksud berkias, berlapik, dan tersirat.

Peribahasa sesungguhnya merupakan salah satu bukti keintelektuan pujangga silam masyarakat Melayu yang berhasil mencipta ungkapan bijak, hasil dari pemerhatian dan pengamatan alam sekeliling.

Hal ini seterusnya membawa kepada lahirnya kata-kata bernas penuh berhikmah yang membawa pelbagai mesej dan pengajaran.

Peribahasa juga mencerminkan falsafah hidup masyarakat Melayu, atau setidak-tidaknya kebenaran umum yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan ketika ia dicipta.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.
Kredit: Dr Zubir Idris

Salah satu perkara yang disinggung dalam peribahasa Melayu ialah tentang latar belakang dan status sosial dalam masyarakat.

Peribahasa lahir dalam dulang emas misalnya, merupakan kiasan yang sangat popular dalam masyarakat Melayu untuk menggambarkan latar belakang kehidupan seseorang.

Secara ringkasnya, peribahasa ini bermaksud seseorang yang dilahirkan dalam keluarga yang sangat kaya-raya atau daripada golongan bangsawan yang hidup serba mewah sejak kecil.

Penggunaan simbolik "emas" itu sendiri melambangkan kekayaan yang luar biasa dan status sosial yag tinggi.

Dalam konteks masyarakat Melayu pada zaman dahulu, bayi daripada keluarga diraja atau bangsawan sering dijaga dengan peralatan yang diperbuat daripada logam berharga (seperti emas atau perak).

Justeru, peribahasa lahir dalam dulang emas seolah-olah menggambarkan betapa zuriat yang dilahirkan berada dalam suasana kehidupan yang luar biasa, dikelilingi dengan kesenangan, kemewahan dan dalam status sosial yang tersendiri

Terdapat juga peribahasa lain yang hampir sama maknanya dengan peribahasa lahir dalam dulang emas.

Contohnya adalah seperti peribahasa lahir di atas gethek, jatuh ke peluk; yang bermaksud seseorang yang sudah bernasib baik sejak kecil, dan berterusan memperoleh nasib baik dan kesenangan.

Peribahasa ini menjelaskan seseorang yang sudah bernasib baik sejak kecil (dilahirkan di atas gethek,  iaitu raffia atau anyaman bambu yang dianggap mewah pada zaman dulu), kemudian berterusan mendapat nasib yang baik lagi (memperoleh bantal untuk dipeluk, yang dapat akan memberikan kesan yang lebih selesa dan menyenangkan).

Begitulah dapat difahami bagaimana peribahasa memainkan peranannya sebagai satu alat komunikasi dalam kehidupan seharian, melalui kata-kata yang ditapis-saring penuh berkias bagi menggambarkan cara berfikir masyarakat yang menghasilkannya.