Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pensyarah Indonesia Dedah Sebab Pelabur Lebih Pilih Malaysia Berbanding Negaranya
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menerima banyak pelaburan masuk dari luar negara dan merancakkan lagi ekonomi di negara ini.
Malah, Malaysia telah menarik sebanyak RM285.2 bilion dalam pelaburan yang diluluskan dari Januari hingga September 2025.
Peningkatan itu adalah sebanyak 13.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Selain itu, Thailand dan Vietnam tidak terkecuali apabila menunjukkan perkembangan yang signifikan dari segi pelaburan masuk ke negara mereka.
Susulan pencapaian ini, seorang pensyarah Pengurusan Strategik dari Universiti Indonesia, Profesor Sari Wahyuni ‘membongkar’ mengenai faktor yang membuatkan pelabur lebih berminat untuk ke Malaysia, Thailand dan Vietnam berbanding negaranya.
Menerusi perbahasan yang disiarkan di laman youtube Nalar TV Indonesia, negara itu berada di kedudukan ke-12 dunia dalam senarai 15 negara membangun dengan skor Indeks Kepercayaan Pelaburan Asing mencapai 1,3592 mata pada tahun ini.
Meskipun kedudukan tersebut dilihat lebih stabil berbanding tahun lalu, namun Indonesia masih berada di bawah Thailand dan Malaysia yang menduduki tempat ke-10 dan ke-11.
Menurut Sari Wahyuni, ada beberapa sebab yang menjadikan negara ini berada di kedudukan yang tinggi sedikit berbanding Indonesia.
Zon Ekonomi khas merupakan kawasan tertentu dalam sesebuah negara yang menawarkan keistimewaan khas kepada perniagaan seperti insentif cukai, peraturan yang lebih mudah, serta infrastruktur yang lebih baik. Zon ini diwujudkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan meningkatkan eksport.
Ujarnya, Malaysia dikenali sebagai “Silicon Valley of the East” kerana bidang Teknologi Maklumat (IT) dan berkaitan dengannya lebih bagus berbanding Indonesia.
Di Indonesia pula, pasaran lebih besar, tetapi rantaian nilainya masih lagi belum bersedia.
Justeru, Indonesia perlu menyiapkan “blueprint” terlebih dahulu sebelum berusaha menarik pelabur untuk perkembangan pelbagai sektor termasuk pembuatan bateri.
“Selepas itu baru kita dapat tunjuk rantaian nilai mana yang ada dan mana yang tiada ketika pelabur datang, ini yang dilakukan oleh Malaysia,” katanya.
Ia juga terkait dengan peranan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) yang sangat membantu mengembangkan pelaburan di Malaysia.
“Mereka sangat profesional dalam mengejar pelabur. MIDA itu juga benar-benar melaksana, bukan hanya menarik pelabur asing tetapi membantu pihak tersebut,” katanya.
Malah, segala keperluan pelabur dijaga dengan sangat baik.
Ujarnya, usaha itu membuatkan pelabur lebih merasa senang hati dan dan yakin untuk melebarkan sayap di Malaysia, tanpa perlu menggunakan kroni kapitalisme.
“Mereka melakukan penyelarasan setiap minggu. Kalau ada masalah, perlu diselesaikan dalam minggu itu juga.
“Pelabur mahukan kepastian bahawa negara yang mereka berminat juga boleh membantu mereka, selain memupuk kepercayaan,” katanya.
Jelasnya, Indonesia juga perlu giat berusaha untuk mendapat kepercayaan pelabur terutama melalui Indonesia Investment Authority (INA).
Sumber: Nalar TV Indonesia