Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penunggang Motosikal Maut Tercampak Ke Bawah Jambatan Di Lebuh Raya SPE

Penunggang Motosikal Maut
Sumber: BERNAMA

Penunggang Motosikal Maut Tercampak Ke Bawah Jambatan Di Lebuh Raya SPE

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak kira-kira 30 meter ke bawah jambatan dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua buah motosikal di KM 15.8 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SPE) di sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, sebuah SUV jenis Proton X50 yang dipandu seorang wanita dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbabas dan melanggar dua buah motosikal yang berhenti berteduh.

“Akibat kemalangan tersebut, seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun telah tercampak dan jatuh kira-kira 30 meter ke bawah jambatan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berusia 18 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka serta menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Zamzuri berkata ujian saringan alkohol yang dijalankan terhadap wanita berusia 21 tahun itu didapati negatif, namun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.