Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penyakit ‘Rusa Zombi’ Kini Merebak Di AS
WASHINGTON –– Penyakit Buangan Kronik (CWD) atau digelar “penyakit rusa zombi” dilaporkan merebak di AS selepas kes pertama dilaporkan di Taman Negara Yellowstone baru-baru ini, lapor The Independent.
CWD dipercayai mengakibatkan haiwan berkenaan melelehkan air liur, kelihatan tidak bermaya dan merenung dengan pandangan yang kosong.
Difahamkan, penyakit itu ditemui dalam sekitar 800 sampel rusa yang telah diambil di seluruh Wyoming.
Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata sekurang-kurangnya 31 negeri di Amerika Syarikat serta tiga wilayah di Kanada dilaporkan dilanda penyakit itu hingga November lalu.
Apa itu penyakit rusa zombi?

Menurut CDC, Penyakit Buangan Kronik (CDW) adalah sebahagian penyakit prion.
Penyakit itu berpunca daripada sejenis protein ‘berlipat’ dan menyebabkan protein lain mengalami perkara yang sama sebelum membawa kepada kematian.
Ia juga dikenali dengan tempoh inkubasi yang panjang sehingga akhirnya menjejaskan cara otak berfungsi.
Tambah CDC, penyakit rusa zombi setakat ini tidak menjejaskan manusia tetapi kajian awal sedang dijalankan untuk menentukan sama ada ia boleh merebak ke tubuh manusia.
Perkhidmatan Pemeriksaan Haiwan dan Tumbuhan pula berkata setakat ini penyakit itu hanya direkodkan berlaku secara semula jadi pada rusa, rusa kutub dan moose.
Ia merebak antara haiwan secara langsung atau tidak langsung melalui cecair badan seperti najis, air liur, darah dan air kencing. Tidak terkecuali melalui makanan atau sumber air yang sama.
Buat masa ini, tiada rawatan atau vaksin untuk penyakit ini.
Lebih memburukkan keadaan lagi, CWD sukar untuk dibasmi setelah persekitaran mula dijangkiti. Difahamkan, ia boleh bertahan selama bertahun-tahun dalam kotoran atau pada permukaan.
Saintis turut melaporkan ia mampu bertahan terhadap pembasmian kuman, formaldehid, sinaran dan pembakaran pada suhu 600 Celsius.
Namun, penyakit ini bukanlah satu kejadian baharu. Kes pertama yang pernah dikenal pasti adalah pada akhir tahun 1960-an yang melibatkan rusa dalam kurungan di pusat penyelidikan Colorado.
Tidak cuma itu, terdapat juga kes yang berlaku terhadap rusa liar pada tahun 1981.
Menjelang 1990-an, penyakit itu terus merebak di Colorado dan Wyoming. Kini ia telah menular hingga ke seluruh negara tersebut.
Negeri-negeri lain yang tidak mempunyai pengawasan hidupan liar yang baik dikatakan mungkin sudah terjejas, tetapi kes belum disahkan.