Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja: Sejarah Dan Peranannya

Sofea
Jawatan Penyimpan Mohor Besar
Kredit: Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja/ RTM

Jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja: Sejarah dan Peranannya

Setiap kali tibanya musim bulan Ramadan dan Syawal, semua umat Islam di Malaysia menanti-nantikan kemunculan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di kaca televisyen untuk mengumumkan mengenai permulaan tarikh kedua-dua bulan mulia itu.

Walaupun pengumuman itu berlangsung hanya dalam tempoh beberapa minit, ia menjadi salah satu momen ikonik yang sentiasa diingati oleh orang ramai.

Sejak 2011, pengumuman tersebut telah dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ke-16, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Setiap tahun, kita semua pastinya tidak terlepas daripada meneka warna baju Melayu yang disarung oleh beliau ketika pengumuman.

Bagaimanapun, pernah atau tidak anda tertanya-tanya mengenai tugas Syed Danial, selain mengumumkan tarikh puasa dan raya?

Justeru, artikel kali ini akan menyentuh mengenai peranan beliau, sejarah jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan yang berkaitan dengan Majlis Raja-Raja.

Sejarah Jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Untuk pengetahuan, individu yang memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada asalnya merupakan kakitangan kerajaan yang paling kanan.

Perkara tersebut diputuskan dalam salah satu Mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang bersetuju bahawa jawatan Penyimpan Mohor Besar ini tidak kurang tarafnya daripada Menteri Besar yang paling kanan.

Hal ini kerana, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertindak bagi pihak semua Raja. Manakala, Menteri Besar hanya mewakili Rajanya Sahaja.

Tambahan pula, Raja-Raja masih mempunyai sedikit kuasa eksekutif dan Baginda sekalian memerlukan seorang pegawai kanan.

Selepas merdeka, kuasa eksekutif Raja-Raja telah dipindahkan kepada rakyat. Ia sekaligus memperlihatkan jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tidak lagi mendukung tanggungjawab seperti yang pernah termaktub sebelumnya.

Perlembagaan Persekutuan

Jadual Kelima dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

Seksyen 3 - Majlis Raja-raja hendaklah mempunyai suatu Mohor Besar Raja-raja yang hendaklah dalam jagaan seseorang yang dilantik oleh Majlis itu.

Seksyen 4 - Orang yang dilantik di bawah Seksyen 3 hendaklah dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, hendaklah bertindak sebagai Setiausaha Majlis Raja-raja dan hendaklah memegang jawatannya selama yang diperkenankan oleh Majlis itu.

Seksyen 6 - Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja bila masa dikehendaki berbuat sedemikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis itu dan dengan tidak dikehendaki berbuat sedemikian, tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau dalam jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Asal Gelaran Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Gelaran 'Penyimpan Mohor Besar Raja-raja' (The Keeper of the Rulers’ Seal) telah dibawa jauh dari England ke Malaysia melalui India.

Berasal dari Britain dan berakar umbi sejak ratusan tahun lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dikenali dengan nama ini memandangkan beliau yang menjaga Mohor Besar Raja-Raja.

Peranan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Menurut Seksyen 4 Jadual Kelima dalam Perlembagaan Persekutuan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja juga bertindak sebagai setiausaha Majlis Raja-Raja.

Dalam pada itu, beliau turut bertanggungjawab memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis itu.

Penyandang jawatan itu juga perlu menurunkan cap Mohor Besar Raja-Raja ke atas apa-apa persetujuan, pelantikan atau nasihat Majlis Raja-Raja yang dikehendaki di bawah Perlembagaan.

Kredit: Bernama

Tentang Tan Sri Syed Danial

Bagi yang masih belum mengenai Syed Danial, beliau telah dilahirkan pada 30 November 1944 di Georgetown, Pulau Pinang.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kelawai, Pulau Pinang.

Selepas itu, beliau telah melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak dan seterusnya menuntut di Universiti Malaya.

Beliau telah mendapat pendidikan akhir pada 1976 dalam bidang akademiknya di luar negara iaitu di Universiti of Wisconsin, Madison, Amerika Syarikat.

Kredit: Bernama

Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai Pegawai Kerajaan (PTD) selama 32 tahun di pelbagai Kementerian, Agensi dan Jabatan Kerajaan dari 1967 hingga 1999. Ia termasuk di Sabah, Sarawak, Perak, Kedah dan Perlis.

Selepas bersara, beliau telah dilantik sebagai Datuk Paduka Maharaja Lela di Istana Negara bermula daripada tahun 2002 hingga 2004 dan seterusnya sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja pada tahun 2004 hingga 2006.

Malah, Syed Danial juga dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Ahli Majlis Angkatan Tentera di bawah peruntukan Perkara 137, Perlembagaan Persekutuan.

Mohor Besar Raja-Raja

Untuk pengetahuan, Mohor Besar Raja-Raja disimpan dan digunakan oleh Penyimpan Besar Raja-Raja seperti diperuntukan oleh seksyen 4 dalam Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat dua Mohor Besar yang disimpan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja:

  1. Mohor Besar yang pertama berukuran 51 cm panjang, 22 cm lebar, 52 cm tinggi dan seberat 93 kg.

  2. Mohor Besar yang kedua berukuran 51 cm panjang, 14 cm lebar, 35.5 cm tinggi dan seberat 38kg. Mohor Besar yang kedua ini lebih mudah dibawa ke luar pejabat apabila perlu.

Permukaan Mohor Besar mengandungi jata kerajaan sembilan Negeri Melayu serta tertulis perkataan 'Mohor Besar Raja-Raja Negeri Melayu dalam huruf jawi.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali keempat pada 31 Ogos 1948 telah bersetuju menerima corak pada Mohor Besar Raja-raja yang digunakan sehingga ke hari ini.

Kedua-dua Mohor Besar Raja-Raja ini dibuat di England pada tahun 1949 dengan kos £211.10.

Penggunaan Mohor Besar Raja-Raja

Setiap dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja perlu diturunkan dengan cap Mohor Besar diikuti dengan tandatangan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berserta dengan tarikh dokumen berkenaan dikeluarkan dan tempat Mohor Besar itu diturunkan.

Ia bertujuan untuk mengesahkan bahawa surat cara atau dokumen tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Raja-Raja menurut Perintah Majlis Raja-Raja.

Surat yang memerlukan Penurunan Mohor Besar:

  1. Surat cara yang memuatkan keputusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja yang dihantar kepada Yang Di-Pertua Dewan Negara, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

  2. Surat cara lantikan Raja sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

  3. Surat cara bagi pelantikan-pelantikan seperti termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.