Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perlawanan Terhenti, “Fans” Besiktas Campak Ribuan Mainan Dalam Padang Untuk Diderma Kepada Mangsa Gempa
Peminat pasukan bola sepak Besiktas membaling ribuan anak patung atas padang semasa perlawanan menentang Antalyaspor pada Ahad lalu untuk didermakan kepada kanak-kanak yang terkesan akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria pada awal bulan ini, lapor The Guardian.
Perlawanan Liga Super Turkiye yang berkesudahan 0-0 itu dihentikan sementara pada minit keempat bagi membolehkan peminat melemparkan pemberian mereka ke atas padang.
Gempa bumi kuat pertama kali melanda Turkiye pada 4.17 pagi waktu tempatan pada 6 Februari yang lalu.
“Peminat kami melemparkan, selendang, baret dan mainan di atas padang Vodafone Park untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak di kawasan yang terkesan dengan gempa bumi untuk menceriakan mereka,” kata Besiktas dalam satu kenyataan.
Jumlah kematian akibat gempa bumi sehingga kini telah melepasi seramai 50,000 orang. Pemain sayap Ghana, Christian Atsu yang bermain untuk kelab Turkiye Hatayspor adalah antara mangsa yang terkorban.
Dia ditemui mati pada 18 Februari lalu di bawah bangunan tempat dia tinggal di selatan Turkiye itu.
Satu lagi gempa bumi kuat dilaporkan telah melanda Turkiye pada 25 Februari lalu ketika negara tersebut masih lagi terkesan daripada beberapa siri gempa kuat awal bulan ini.
Memetik Daily Mail, gempa bumi berukuran 5.5 magnitud telah melanda tengah Turkiye. Selang beberapa hari selepas dua lagi gempa bumi melanda sempadan negara itu berhampiran Syria.
Pada 10.27 pagi waktu Turkiye, penggera telah dibunyikan oleh Pusat Seismologi Eropah-Mediteranean. Gempa dilaporkan berlaku di 40 kilometer selatan bandar Aksaray dan 18 kilometer timur laut Emirgazi dengan kekuatan 5.2 magnitud sedalam 10 kilometer.
Kejadian ini diikuti dengan laporan dari India Today bahawa bencana itu berlaku di wilayah Nigde. Terletak hampir 230 batu dari Gaziantep. Kawasan yang berhampiran dengan pusat gempa pertama sekuat 7.8 magnitud pada 6 Februari lalu.
Bencana pada Sabtu lalu berlaku selepas kedua-dua negara yang terlibat iaitu Turkiye dan Syria sedang giat membina semula rumah-rumah mereka. Ekoran gempa awal bulan lalu, berjuta-juta rakyat dilaporkan telah kehilangan tempat tinggal mereka.
Sumber: The Guardian