Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perdana Menteri Lithuania Umum Letak Jawatan

Perdana Menteri Lithuania
Gambar: LRT

Perdana Menteri Lithuania Umum Letak Jawatan

Perdana Menteri Lithuania, Inga Ruginienė, secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sekali gus menamatkan pentadbiran kerajaan yang diterajui gabungan Parti Demokratik Sosial susulan rombakan dalam gabungan pemerintah.

Kabinet yang dipimpin Ruginienė, iaitu kerajaan ke-20 Lithuania, mengadakan mesyuarat terakhir pada Selasa sebelum semua menteri sebulat suara meluluskan resolusi peletakan jawatan kerajaan.

Dalam ucapan kepada anggota kabinetnya, Ruginienė mengucapkan penghargaan atas sumbangan semua menteri sepanjang tempoh pentadbiran mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menyerahkan semula kuasa pentadbiran kepada Presiden Lithuania.

Dalam sidang media selepas itu, Ruginienė berkata beliau meninggalkan jawatan tersebut dengan penuh rasa bangga dan tenang.

"Dalam politik, anda boleh belajar banyak perkara seperti cara untuk tampil meyakinkan atau berucap dengan lancar, tetapi bukan keberanian atau sifat kemanusiaan.

"Empati, keupayaan mendengar rakyat dan keberanian untuk bertindak merupakan nilai yang membantu saya terus berpegang pada prinsip ketika berdepan pelbagai pilihan sukar serta tanggungjawab besar," katanya.

Dalam pada itu, Ruginienė mengakui beliau pernah berdepan tanggapan stereotaip kerana tidak memenuhi gambaran tradisional mengenai seorang perdana menteri, termasuk dari segi cara bercakap, penampilan dan pembawaan diri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan seorang pemimpin tidak seharusnya dibentuk mengikut acuan atau jangkaan orang lain.

Dakwaan sebagai "mangsa politik"

Mengulas dakwaan bahawa beliau dijadikan "mangsa politik" oleh partinya sendiri, Ruginienė menolak tanggapan tersebut dan menyifatkan perubahan kepimpinan itu sebagai proses biasa dalam sistem demokrasi.

Beliau turut mendedahkan bahawa pemimpin Parti Demokratik Sosial, Mindaugas Sinkevičius, sebenarnya dijadualkan mengambil alih jawatan perdana menteri sejak tahun lalu selepas peletakan jawatan penyandang ketika itu, Gintautas Paluckas.

Namun, proses tersebut ditangguhkan sehingga kini.

"Apa yang berlaku sekarang sepatutnya sudah berlaku pada tahun lalu. Hari ini saya meninggalkan jawatan ini dengan kepala tegak dan hati yang tenang," katanya.

Info tambahan

Dekri peletakan jawatan akan dikemukakan kepada Presiden Lithuania, Gitanas Nausėda, yang dijangka meminta kabinet sedia ada terus menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Berdasarkan perjanjian gabungan pemerintah, presiden mempunyai tempoh sehingga 15 hari untuk mencalonkan perdana menteri baharu kepada Parlimen Lithuania.

Mindaugas Sinkevičius telah dinamakan sebagai calon bagi mengisi jawatan tersebut, lapor media tempatan.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Lithuania menukar kerajaan di pertengahan penggal parlimen semasa.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Gintautas Paluckas meletakkan jawatan susulan siasatan terhadap urusan perniagaan serta hubungannya, sekali gus menyebabkan seluruh kabinet ketika itu turut dibubarkan.

Sumber:LRT