Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perebutan "Kasut Emas" Piala Dunia 2026 Semakin Hangat

kasut emas piala dunia
Gambar: AFP

Perebutan "Kasut Emas" Piala Dunia 2026 Semakin Hangat

Perebutan anugerah Kasut Emas pada Piala Dunia FIFA 2026 kini semakin hangat apabila beberapa penyerang terbaik dunia terus mempamerkan ketajaman di hadapan gawang.

Selepas dua perlawanan, Lionel Messi muncul sebagai pendahulu carta penjaring dengan lima gol. Ini sekali gus meletakkan dirinya di hadapan pencabar lain dalam usaha menamatkan kejohanan sebagai penjaring terbanyak.

Kapten Argentina itu menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Austria 2-0, sekali gus mengekalkan rekod cemerlangnya di pentas terbesar bola sepak dunia.

Di belakang Messi, Kylian Mbappé dan Erling Haaland masing-masing telah meledak empat gol selepas turut mencatat dua jaringan dalam kemenangan pasukan mereka.

Lebih menarik, prestasi cemerlang tiga pemain itu turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali sejak Piala Dunia 1954, tiga pemain berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol selepas hanya dua perlawanan.

Kane berpeluang rapatkan jurang

Sementara itu, kapten England, Harry Kane, dikatakan masih berpeluang menyertai kelompok pendahulu sekiranya berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang Ghana.

Setakat ini, Kane telah mengumpul dua gol dan berpeluang menjadi pemain pertama memenangi lebih daripada satu anugerah Kasut Emas Piala Dunia.

Rekod demi rekod mula tercipta

Selain perebutan gelaran penjaring terbanyak, beberapa rekod bersejarah turut mula 'digugat'.

Messi kini telah mengumpul 18 gol sepanjang kariernya di Piala Dunia, sekali gus mengatasi rekod legenda Jerman, Miroslav Klose yang sebelum kejohanan bermula memegang rekod 16 gol.

Mbappe pula telah menyamai catatan 16 gol Klose, manakala Haaland kini muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Norway di pentas Piala Dunia selepas hanya dua perlawanan.

Bagi Kane pula, satu lagi jaringan akan membolehkannya memintas Gary Lineker sebagai penjaring terbanyak England dalam sejarah Piala Dunia.

Keempat-empat pemain itu kini turut memburu rekod 13 gol dalam satu edisi Piala Dunia yang masih dipegang oleh Just Fontaine sejak tahun 1958.

Sepanjang sejarah kejohanan, hanya tiga pemain pernah mencapai dua digit jaringan dalam satu edisi, iaitu Fontaine (13 gol), Gerd Müller (10 gol pada 1970) dan Sándor Kocsis (11 gol pada 1954).

Dengan kadar jaringan yang tinggi pada kejohanan kali ini, tidak mustahil lebih daripada seorang pemain mampu memecahkan angka tersebut, lapor Sky Sports.

Sumber:Sky Sports