Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sejarah bola sepak Brazil kembali tertulis apabila 23 kad merah dilayangkan kepada pemain selepas pergaduhan tercetus di perlawanan akhir Liga Campeonato Mineiro.
Memetik BBC Sport, bekas penyerang Brazil, Givanildo Vieira de Sousa atau nama timangannya, Hulk antara pemain yang menerima kad merah.
Perlawanan itu menyaksikan Atletico Mineiro tewas 0-1 kepada Cruzeiro dalam saingan liga berkenaan.
Jaringan Kaio Jorge menempatkan kelab tersebut sebagai juara Minas Gerais buat kali pertama sejak 2019.
Menerusi rakaman perlawanan, insiden yang berlaku pada minit ke-96 perlawanan itu tercetus apabila penjaga gol Atletico, Everson menolak pemain pihak lawan, Christian.
Pemain berkenaan kemudiannya bertindak menyerang pemain tengah Cruzeiro yang bertembung dengannya ketika mengejar bola di kawasan gol.
Sejurus itu, rakan sepasukan Christian segera bersemuka dengan Everson sebelum menolak penjaga gol berkenaan ke tiang gol.
Insiden tersebut mencetuskan kekecohan lebih besar apabila semakin ramai pemain turut serta dalam pergaduhan.
Kakitangan keselamatan kemudian cuba meleraikan kedua-dua pasukan yang bertelagah.
Menurut AFP, pengadil, Matheus Candancan, kemudian melayangkan kad merah kepada Hulk serta 10 lagi pemain Atletico Mineiro.
Seramai 12 pemain Cruzeiro juga dikenakan tindakan sama selepas suasana menjadi tidak terkawal di atas padang.
Insiden ini sekali gus memadam rekod terdahulu yang menyaksikan 22 kad merah dilayangkan dalam perlawanan bola sepak Brazil pada 1954.
Mengambil tanggungjawab sebagai pemain yang terlibat, Hulk menzahirkan permohonan maaf secara terbuka.
"Saya memohon maaf kepada semua yang ada di stadium, serta mereka yang menonton menerusi televisyen di rumah, khususnya kepada kanak-kanak yang melihat bola sepak sebagai satu inspirasi.
"Apa yang kami berlaku bukanlah contoh yang kami ingin tunjukkan," ujar pemain tersebut.
Sebagai pengetahuan, rekod dunia menyaksikan jumlah kad merah terbanyak dilayangkan dalam satu perlawanan pada 2011.
Seramai 36 pemain diarah keluar padang dalam perlawanan antara Atletico Claypole dan Victoria Arenas bagi divisyen kelima Argentina.