Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pergi Selepas Laung Azan Maghrib, Pemergian Bilal Muda Undang Sebak
Tidak ada siapa yang tahu bila dan bagaimana saat terakhirnya akan tiba. Ada yang pergi ketika sedang berehat, ada yang dijemput pulang ketika bekerja.
Ada juga yang menghembuskan nafas terakhir ketika sedang melakukan perkara yang paling dicintainya.
Namun, apa yang pasti adalah setiap insan mengimpikan pengakhiran yang baik dalam hidup.
Begitulah yang dirasai ramai apabila menerima khabar duka yang dikongsikan menerusi Facebook PAS Selayang mengenai pemergian Al-Marhum Ustaz Ahmad Haziq Jailani, Bilal 2 Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang.
Menerusi makluman yang dikeluarkan oleh Biro Khairat Kematian Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang, Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada Ahad, 14 Jun 2026 bersamaan 28 Zulhijjah 1447H.
Berita pemergian Almarhum Ustaz Ahmad Haziq Jailani turut dikongsikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib, menerusi perkongsian Facebook.
Menurut beliau, arwah menghembuskan nafas terakhir selepas selesai melaungkan azan Maghrib.
Kematian yang dicemburui, namun pemergiannya begitu dirasai.
Masih terbayang senyuman, semangat dan kesungguhannya dalam setiap gerak kerja jamaah. Al-Marhum Ustaz Ahmad Haziq bukan sahaja istiqamah mengimarahkan masjid sebagai bilal, malah sangat aktif bersama program-program pemuda dan sentiasa hadir membantu dalam pelbagai tugasan Jabatan Amal.
Lebih menyentuh hati, arwah menghembuskan nafas terakhirnya selepas selesai melaungkan azan Maghrib semalam. Satu pemergian yang mengundang rasa hiba, namun pada masa yang sama menimbulkan rasa cemburu dalam hati ramai yang mengenalinya. Seolah-olah Allah menjemput pulang hamba-Nya yang sedang berkhidmat untuk agama dan rumah-Nya.
Pemergiannya pada usia yang muda benar-benar meninggalkan kesan kepada sahabat-sahabat seperjuangan. Kehilangannya bukan sekadar kehilangan seorang petugas, tetapi kehilangan seorang anak muda yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk agama, masjid dan masyarakat.
Apa yang lebih meruntun jiwa, Allahyarham pergi pada usia yang masih muda.
Beliau turut meninggalkan seorang isteri dan anak yang masih kecil untuk meneruskan kehidupan tanpa kelibat seorang suami dan ayah yang selama ini menjadi tempat bergantung.
Sudah tentu kehilangan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.
Namun, ramai percaya setiap amal kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham akan menjadi saham akhirat yang berpanjangan buat dirinya.
Lebih meruntun jiwa, arwah meninggalkan seorang isteri dan anak yang masih kecil, yang pastinya akan terus merindui kasih sayang, didikan dan kehadirannya. Namun kami yakin, setiap pengorbanan dan amal bakti yang ditinggalkan akan menjadi saham kebaikan yang berpanjangan buat dirinya di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya, ada insan yang hidupnya singkat di dunia, tetapi amal dan jasanya panjang dikenang manusia. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala amal solehnya dan mengurniakan tempat yang terbaik buatnya di syurga Firdaus.
Pergimu ditangisi, namun husnul khatimahmu dicemburui.
Al-Fatihah buat Al-Marhum Ustaz Ahmad Haziq bin Jailani.
Al-fatihah.