Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perhilitan Bangun “Elephant Food Bank” Tangani Isu Konflik Gajah-Manusia
ISKANDAR PUTERI, 30 Nov (Bernama) — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) sedang membangunkan “elephant food bank” atau kawasan makanan gajah sebagai usaha jangka panjang mengatasi konflik mamalia itu dengan manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata pengwujudan kawasan berkenaan akan membolehkan kumpulan gajah tertumpu di situ untuk mencari makanan.
Beliau berkata Jabatan Perhilitan Johor dan universiti awam juga sedang bekerjasama dalam menjalankan kajian mitigasi serta mengenal pasti kawasan sesuai untuk dijadikan kawasan tambahan makanan gajah di dalam kawasan koridor gajah.
“Kluang merupakan daerah yang kerap mendapat aduan berkaitan konflik gajah-manusia. Hal ini kerana kawasan itu berdekatan dengan habitat dan koridor laluan gajah termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri Kahang.
“Sebanyak 33 aduan konflik gajah-manusia diterima dari Januari hingga Oktober tahun ini di Kluang, dengan Jabatan Perhilitan telah mengenal pasti kumpulan gajah Taman Negeri yang sering memasuki kawasan itu,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Raven Kumar berkata kumpulan gajah berkenaan dianggarkan berjumlah 25 hingga 30 ekor dan sering memasuki kawasan Kluang.
Sehingga kini, beliau berkata sebanyak 120 operasi kawalan telah dilaksanakan di Kluang berhubung konflik gajah-manusia dan kerajaan negeri melalui Jabatan Perhilitan Johor telah melakukan pelbagai usaha yang praktikal dalam pengurusan mamalia berkenaan.
Gangguan kumpulan mamalia itu sehingga kini, katanya bukan sahaja tertumpu di kawasan pertanian malah di kawasan penempatan yang berhampiran habitat asal hidupan liar itu.
Raven Kumar berkata Jabatan Perhilitan juga telah menjalankan pelbagai usaha mitigasi bagi mengatasi dan mengurangkan jumlah aduan daripada orang ramai.
Antaranya usaha itu ialah kawalan dan pemantauan, pengurusan populasi secara terancang, tembak-halau, tangkap-pindah gajah, pembinaan parit gajah dan pembinaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) untuk tindakan jangka pendek dan sederhana.
Menurut Raven Kumar bagi pekebun yang kerugian akibat aktiviti gajah, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip bagi mencari jalan penyelesaian isu itu.
Sumber: BERNAMA