Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perjuangan Rakyat Kesultanan Melayu Melaka & Palestin, Dua Zaman Satu Persamaan

Aina Munirah
perjuangan rakyat melaka palestin
Kredit: Encik Kartografi
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Perjuangan Rakyat Kesultanan Melayu Melaka & Palestin, Dua Zaman Satu Persamaan

Dalam rentetan sejarah dunia, perjuangan melawan penindasan sentiasa menjadi lambang keteguhan sesebuah bangsa.

Jika dilihat dalam sejarah dahulu, rakyat Empayar Kesultanan Melayu Melaka turut berjuang mempertahankan kedaulatan dan maruah tanah air.

Semangat yang sama turut dilihat pada rakyat Palestin yang sehingga kini terus berjuang menegakkan hak dan tanah air mereka.

Perkara ini turut tercatat dalam naskhah lama. Ikuti perkongsian oleh Shahrul Azzim Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Encik Kartografi di laman Facebook.

Balingan Batu: Persamaan Perjuangan Rakyat Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan Palestin di Zaman Berbeza

Petikan daripada sebuah naskah lama berusia lebih 350 tahun bertajuk “Atlas Japannensis: Being remarkable addresses by way of embassy from East-India Company of the United Provinces, to the Emperor of Japan. Containing a description of their several territoeries, cities, temples, and fortresses, their religions, laws, and customs, their prodigious wealth, and gorgeous habits, the nature of their soil, plants, beasts, hills, rivers, and fountains with the character of the ancient and modern Japanners” yang dihasilkan oleh Arnoldus Montanus pada tahun 1669 dan diterjemahkan ke dalam versi bahasa Inggeris pada tahun 1670 telah menggambarkan secara jelas keberanian rakyat Melaka ketika menentang serangan Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511.

BACA: Tercatat Dalam Peta Lama, Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Pulau Terus

Petikan di dalam naskah tersebut adalah:

But Albuquerque ran great danger; for the Malaccans keeping close together in their narrow streets, made fierce resistence; the women and children throwing stones, and the other combustible things, out of their windows; yet at last he forced them to fly, raising bulwark at each and conquered bridge, and covered the same over on the top with sails, to keep of the sun.

Berdsarkan catatan di dalam naskah berusia lebih tiga abad tersebut, dinyatakan bahawa penduduk Melaka termasuk wanita dan kanak-kanak pada ketika itu berjuang dengan segala kemampuan yang ada.

Mereka melempar batu serta bahan mudah terbakar dari tingkap rumah yang terletak di jalan-jalan yang sempit dalam usaha mempertahankan tanah air daripada jatuh ke tangan musuh.

Di dalam keadaan di mana hulubalang-hulubalang lelaki yang sedang berjuang melawan musuh, kaum wanita dan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada mempunyai semangat membantu melawan musuh dan mempertahankan tanah air tercinta.

Berdasarkan petikan tersebut, tindakan ini bukan sekadar pertahankan fizikal, tetapi mencerminkan semangat perjuangan dan maruah bangsa yang enggan tunduk kepada penjajahan Portugis.

Meskipun akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis, keberanian rakyatnya menunjukkan satu hakikat penting dalam sejarah dunia bahwa kaum wanita dan kanak-kanak juga telah memainkan peranan penting dalam usaha mereka melawan penjajah.

Jika melihat kepada konteks keadaan terkini, situasi ini mempunyai persamaan yang ketara dengan perjuangan rakyat Palestin hari ini.

Dalam keadaan tertindas dan berdepan dengan keadaan ketenteraan Israel, rakyat Palestin khususnya para belia sering menjadikan perbuatan melempar batu sebagai simbol penentangan.

Walaupun tindakan ini nampak kecil, tetapi ia telah membawa kepada dua makna utama iaitu simbol keberanian dan maruah dan juga taktik ketenteraan kecil terhadap penindasan yang berterusan.

BACA JUGA: Persatuan Kartografi Jejaki Laluan Purba Kota Melaka Ke Pantai Timur

Sama seperti rakyat Melaka pada awal abad ke-16 ketika Melaka diserang Portugis, rakyat Palestin berjuang bukan sekadar dengan batu di tangan, tetapi dengan semangat dalam mempertahankan hak dan tanah air.

Dalam kedua-dua peristiwa ini, batu menjadi sebuah lambang universal bagi perjuangan rakyat yang kuat dari segi prindip dan keberanian.

Kesimpulannya, catatan daripada naskah lama tersebut bukan sekadar bukti sejarah tentang serangan penjajah Portugis ke atas Kota Melaka, tetapi juga refleksi berkaitan nilai penentangan rakyat terhadap penjajahan kuasa asing.

Sama ada di Melaka pada tahun 1511 atau di Palestin pada masa kini, semangat yang hadir tetap sama bahawa perjuangan mempertahankan maruah dan tanah air tidak akan pernah padam walau hanya berbekalkan sebutir batu.

Sumber: Encik Kartografi