Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perkhidmatan Perbankan Yang Tidak Dikenakan SST

Perkhidmatan tidak dikenakan sst
Kredit: Bernama

Perkhidmatan Perbankan Yang Tidak Dikenakan SST

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan sistem percukaian yang dilaksanakan semula di Malaysia pada tahun 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

SST terbahagi kepada dua komponen utama iaitu Cukai Jualan yang dikenakan ke atas pengilang dan Cukai Perkhidmatan yang dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan tertentu.

Namun begitu, tidak semua perkhidmatan tertakluk kepada cukai ini, termasuk beberapa perkhidmatan perbankan asas yang sering digunakan oleh orang awam.

Berikut SK senaraikan perkhidmatan perbankan asas harian yang tidak terkesan oleh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Senarai ini berpandukan kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga kenyataan media bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA).

4 perkhidmatan perbankan terkecuali daripada peluasan skop SST

Antara perkhidmatan tersebut ialah perkhidmatan perbankan yang melibatkan bayaran atau komisen seperti yang berkaitan dengan akaun semasa (akaun cek), akaun simpanan atau akaun seumpamanya termasuk e-dompet.

Bagi memperjelaskan dengan lebih lanjut, perkhidmatan pertama yang tidak terkesan dengan penetapan SST terbaru ialah caj yang dikenakan atas deposit dan pengeluaran tunai, pembayaran atau pemindahan dana tempatan.

Kedua, transaksi asas yang dilakukan di cawangan bank atau mesin ATM. Sebagai contoh, aktiviti pembayaran bil dan cetakan penyata akaun semasa atau simpanan tidak akan dikenakan SST.

Perkhidmatan perbankan ketiga yang terkecuali daripada SST ialah pengeluaran kad debit dan yuran tahunan kad berkenaan.

“Faedah atau keuntungan serta penalti atau caj hukuman lain tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan,” maklum ABM menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada 26 Jun 2025.

Seterusnya, perkhidmatan keempat merupakan transaksi e-dompet dan perkhidmatan kelima merupakan kadar diskaun peniaga (merchant discount rate).

Kredit: Bank Negara Malaysia (BNM)

Menerusi kenyataan yang sama, ABM, AIBIM dan MIDA menjelaskan bahawa pengembangan skop SST bagi perkhidmatan kewangan dikenakan terhadap pengurusan dana, perkhidmatan berkaitan pelaburan dan perbankan saudagar. Pengembangan ini turut melibatkan perkhidmatan berkaitan pembiayaan perdagangan.

”Di bawah Fasa 1 pengembangan skop cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, cukai perkhidmatan hanya akan dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu dalam bidang perbendaharaan, perbankan korporat dan pelaburan seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A Panduan Cukai Perkhidmatan bagi Perkhidmatan Kewangan,” tambahnya lagi.

Sumber: Bank Negara Malaysia (BNM),Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM)

BACA: Senarai Perkhidmatan CIMB Yang Dikenakan Caj SST 8%

BACA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan Perjelas Sebab Epal & Oren Dikecualikan SST