Sepasang kembar dilaporkan telah ditangkap oleh pihak polis kerana didapati mencuri motosikal vespa di Palembang, Sumatera Selatan.
Menurut Detik News, Ronaldo dan Renaldi yang berusia 20 tahun sebelum itu dipukul oleh sekumpulan ‘budak punk‘ kerana kantoi mencuri motosikal milik salah seorang ahli kumpulan itu.
“Kedua suspek adalah kembar, kami menangkapnya dalam kes kecurian satu unit motosikal vespa yang rosak milik ‘budak punk’,” kata Ketua Polis Daerah Sukarami Palembang, Kompol Budi Hartono.
Difahamkan, kedua-dua suspek telah bertindak ketika mangsa sedang tidur sambil menolak motosikal vespa itu, namun mangsa telah tersedar dan menangkap mereka.
Tambah Budi, mereka telah mengaku ingin menjual motosikal yang rosak itu dengan harga Rp 500,000 (RM146.56) kepada pelanggan. Hasil penjualan itu dirancang digunakan untuk membiayai sekolah adik mereka.
“Kami ingin menjual Rp 500,000 kepada pelanggan, wangnya adalah untuk yuran sekolah adik kami, tuan,” kata kembar itu kepada Budi semasa disoal siasat.
Dalam pada itu, pihak polis juga menangkap dua orang lagi suspek kes kecurian motosikal dengan mangsa yang berbeza. Kedua-duanya dikatakan telah mencuri menggunakan kunci pendua.
Sumber: Detik News

