Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Membesar dalam keluarga sederhana membuatkan Ahmad Daniel Ahmad Shukri memahami betapa bernilainya setiap pengorbanan dalam mencapai kejayaan.
Sebagai anak sulung daripada lima beradik, Daniel sejak kecil melihat sendiri ibu bapanya bekerja keras mencari rezeki.
Ayahnya, Ahmad Shukri Mohamed, 51, mengusahakan perniagaan makanan dan minuman secara kecil-kecilan, manakala ibunya, Norhayati Deraman, 45, seorang suri rumah, cekal membantu menguruskan keluarga dan perniagaan.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang meluangkan waktu bersama rakan ketika cuti sekolah, sebaliknya Daniel mengikuti ibu bapanya berniaga di pasar tani dan pelbagai acara sekitar Terengganu.
Pengalaman itu membuka matanya tentang betapa sukarnya mencari rezeki.
Kini, segala pengorbanan itu seakan-akan terbalas apabila Daniel memperoleh keputusan cemerlang 12A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebelum dipilih sebagai salah seorang daripada lima penerima Yayasan UEM Global Scholarship 2026.
Bagi remaja berusia 18 tahun dari Marang itu, biasiswa tersebut bukan sekadar peluang melanjutkan pelajaran, malah langkah pertama untuk mengubah masa depan keluarganya.
“Banyak yang mereka sudah korbankan untuk kami adik-beradik. Saya berharap suatu hari nanti dapat membalas jasa mereka,” katanya.

Daniel menerima pendidikan di SM Imtiaz Yayasan Terengganu, Kuala Berang sejak Tingkatan Satu.
Selain mengikuti aliran akademik, beliau turut menghafaz 30 juzuk al-Quran serta aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah. Baginya, cabaran terbesar bukanlah subjek yang dipelajari, sebaliknya menguruskan masa di sekolah berasrama.
Ketika rakan-rakan berehat atau bermain pada waktu petang, Daniel menggunakan masa itu untuk menyiapkan tugasan atau mengulang kaji pelajaran.
Menariknya, beliau tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar sekolah. Sebaliknya, beliau memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar.
“Saya kadang-kadang juga rasa malas, tetapi apabila berada dalam kelas saya akan beri sepenuh perhatian. Kalau guru beri nota atau tip penting, saya akan catat dan ulang kaji semula apabila ada masa,” katanya.
Selain cemerlang dalam akademik, Daniel aktif menyertai pertandingan berkaitan STEM, inovasi dan robotik.
Ketika Tingkatan Empat, beliau mewakili Malaysia ke pertandingan inovasi di China dan berjaya meraih naib juara bagi kategori projek perisian.
Walaupun kerap meninggalkan kelas kerana pertandingan, Daniel tidak pernah membiarkan dirinya ketinggalan.
Setiap kali pulang, beliau akan mendapatkan penerangan daripada guru dan berbincang dengan rakan-rakan bagi mengejar semula topik yang tertinggal.
Sokongan guru yang komited serta disiplin yang konsisten membolehkannya mengekalkan prestasi sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
Minat Daniel terhadap teknologi turut diterjemahkan melalui sebuah aplikasi yang dibangunkannya bersama rakan-rakan bagi membantu pelajar menyusun jadual hafazan al-Quran.
Projek itu menjadi antara perkara yang diketengahkan ketika sesi pemilihan Yayasan UEM Global Scholarship.
Menurut Daniel, proses pemilihan biasiswa tersebut melibatkan empat peringkat, bermula dengan permohonan, rakaman video, penilaian secara dalam talian dan temu duga bersemuka.
Beliau percaya pemilihan bukan sekadar bergantung kepada keputusan peperiksaan, sebaliknya turut mengambil kira minat, pengalaman dan hala tuju seseorang.
“Pencapaian akademik memang penting, tetapi kita juga perlu menunjukkan minat terhadap bidang yang ingin diceburi. Kita perlu berani mengambil inisiatif, belajar perkara baharu dan menyertai pertandingan supaya mempunyai nilai yang membezakan kita daripada calon lain,” katanya.
Menerusi Yayasan UEM Global Scholarship, Daniel bakal mengikuti pengajian persediaan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Perisian di universiti terkemuka dunia.
Beliau menyasarkan untuk menyambung pengajian di United Kingdom dengan Imperial College London menjadi antara universiti impiannya.
Biasiswa itu bukan sahaja menampung kos pengajian dan sara hidup, malah membuka peluang membina kerjaya bersama UEM Group selepas tamat pengajian.
Bagi Daniel, peluang tersebut membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa membebankan ibu bapanya.
Selepas menamatkan pengajian, Daniel berharap dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman bagi menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau bercita-cita membangunkan sistem teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menceburi bidang keselamatan siber bagi membantu melindungi data dan privasi rakyat Malaysia.
“Saya berharap dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di luar negara untuk manfaat rakyat Malaysia, sama ada melalui pembangunan sistem ataupun dalam bidang keselamatan siber,” katanya.
Sebagai anak sulung, Daniel sedar kejayaannya akan menjadi inspirasi kepada empat adiknya.

Ibunya berharap beliau terus menjadi contoh kepada keluarga, manakala bapanya percaya pendidikan sentiasa menjadi asas paling penting dalam membina masa depan.
Daripada seorang anak yang pernah membantu ibu bapanya berniaga ketika cuti sekolah, Daniel kini selangkah lebih dekat untuk merealisasikan impian menimba ilmu di luar negara.
Selain Daniel, empat lagi pelajar turut dipilih menerima Yayasan UEM Global Scholarship 2026 iaitu Nicson Yap Yong Ze (Kejuruteraan Perisian), Nur Fatin Afiqah Mazlan (Perakaunan), Lee Wei He (Kejuruteraan Tenaga Boleh Baharu) dan Balqis Syahirah Sufian (Kejuruteraan Awam).

Walaupun berasal daripada latar belakang berbeza, mereka berkongsi satu pandangan bahawa keputusan akademik sahaja tidak mencukupi.
Hala tuju jelas, personaliti, penglibatan dalam komuniti serta kebolehan menyampaikan idea menjadi antara faktor yang membantu mereka menonjol sepanjang proses pemilihan.
Bagi mereka, Yayasan UEM Global Scholarship bukan sekadar membiayai pengajian ke universiti bertaraf dunia, malah menjadi jambatan untuk kembali berbakti kepada Malaysia.
Mereka berharap kejayaan itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar, khususnya dari sekolah harian dan komuniti yang kurang terdedah kepada peluang biasiswa antarabangsa, agar berani bermimpi lebih besar dan berusaha merebut peluang yang ada.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan