Kalau sebut tentang zombi, mesti ramai yang terbayangkan makhluk dalam filem seram yang kembali hidup walaupun sudah mati.
Tetapi, tahukah anda bahawa istilah zombi juga digunakan untuk menggambarkan beberapa fenomena alam?
Bercakap mengenainya, pernah atau tidak anda dengar tentang 'api zombi' atau zombie fires?
Jangan terkejut, fenomena ini benar-benar wujud dan mempunyai kaitan dengan kebakaran tanah gambut yang sukar dipadamkan.
Malah, kebakaran tanah gambut yang berlaku di Indonesia ketika ini turut menjadi antara penyumbang kepada masalah jerebu yang merebak sehingga ke negara kita.
Apa yang lebih mengejutkan, api tersebut boleh terus membara di bawah permukaan tanah selama berminggu-minggu, malah berbulan-bulan, tanpa nyalaan yang jelas kelihatan.
Apa sebenarnya Zombie Fires?
Zombie fires, yang juga dikenali sebagai holdover fires, merupakan fenomena kebakaran yang lazimnya berlaku di kawasan beriklim sejuk seperti Alaska di Amerika Syarikat dan Kanada.
Ia merujuk kepada kebakaran hutan yang mampu bertahan sepanjang musim sejuk dengan terus membara jauh di bawah permukaan tanah, khususnya dalam lapisan tanah organik, mendapan gambut dan sistem akar yang padat.
Berbeza dengan kebakaran biasa di permukaan yang memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan merebak merentasi sesuatu kawasan, kebakaran ini boleh merebak jauh ke dalam lapisan tanah.
Keadaan tersebut menghasilkan sumber haba di bawah tanah yang mampu bertahan selama berbulan-bulan tanpa menunjukkan sebarang nyalaan api yang jelas kelihatan.
Istilah zombi digunakan kerana sifat kebakaran ini yang seolah-olah hidup semula selepas dianggap sudah padam.

Sebagai contoh, kebakaran yang kelihatan telah padam sepenuhnya pada Oktober boleh tiba-tiba menghasilkan kepulan asap semula pada April tahun berikutnya.
Keupayaan api untuk terus membara di bawah tanah ini kebanyakannya berlaku di kawasan yang kaya dengan karbon, apabila lapisan bahan organik yang tebal menyediakan bahan bakar berterusan untuk proses pembakaran secara perlahan
Macam mana Zombie Fires terbentuk?
Pembentukan zombie fires berlaku akibat gabungan beberapa faktor persekitaran yang kompleks, dengan tanah yang kaya dengan gambut menjadi antara faktor utama.
Tanah gambut terbentuk daripada pengumpulan bahan organik selama ribuan tahun dalam keadaan tanah yang digenangi air.
Proses ini menghasilkan mendapan karbon yang padat dan mampu mengekalkan pembakaran walaupun dalam keadaan persekitaran yang tidak begitu sesuai untuk api terus menyala.
Apabila lapisan tanah yang kaya dengan karbon ini menjadi cukup kering, ia bertukar menjadi bahan bakar yang sesuai untuk mengekalkan pembakaran secara berterusan di bawah permukaan tanah.

Selain itu, perubahan iklim turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan risiko berlakunya fenomena tersebut.
Malah, peningkatan suhu menyebabkan musim kebakaran menjadi lebih panjang, selain mengurangkan kandungan kelembapan tanah.
Musim sejuk yang semakin panas juga boleh menyebabkan api yang membara jauh di dalam tanah gagal dipadamkan sepenuhnya secara semula jadi.
Berbalik kepada isu kebakaran tanah gambut di Indonesia, fenomena tersebut turut mempunyai persamaan dengan zombie fires apabila api boleh terus membara di bawah permukaan tanah selama berminggu-minggu dan berbulan-bulan.

Walaupun keadaan cuaca dan persekitarannya berbeza, kedua-dua kebakaran ini sukar dipadamkan kerana api boleh terus membakar lapisan bahan organik tanpa menunjukkan nyalaan yang jelas di permukaan.
Apa itu tanah gambut?
Untuk pengetahuan, tanah gambut terdiri daripada bahan organik yang tidak mereput sepenuhnya dalam keadaan tanah yang digenangi air. Bahan-bahan ini terkumpul selama ribuan tahun sehingga membentuk lapisan yang menyerupai tanah.
Tanah gambut yang berada dalam keadaan baik menjadi habitat kepada pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan, termasuk spesies terancam seperti orang utan dan harimau Sumatera.
Selain itu, tanah gambut mempunyai struktur berliang dan mampu menyerap air, sekali gus memainkan peranan penting dalam membantu mengawal banjir.
Walaupun hanya meliputi kira-kira tiga peratus daripada keluasan daratan dunia, tanah gambut menyimpan kira-kira satu pertiga daripada jumlah karbon dalam tanah di seluruh dunia, iaitu dua kali ganda lebih banyak berbanding karbon yang tersimpan dalam hutan.
Indonesia pula mempunyai kawasan tanah gambut tropika terbesar di dunia, merangkumi kira-kira satu pertiga daripada jumlah keseluruhan tanah gambut tropika global.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pantau Gambut, Indonesia dianggarkan mempunyai 24.2 juta hektar tanah gambut.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 16.4 juta hektar telah mengalami kerosakan atau degradasi, sekali gus menjadikannya lebih mudah terdedah kepada kebakaran.
Kenapa tanah gambut di Indonesia mudah terbakar?
Antara punca utama kerosakan tersebut ialah aktiviti perladangan berskala industri, termasuk tanaman kayu balak, pengeluaran pulpa dan kertas, sawah padi serta ladang kelapa sawit.
Bagi membolehkan tanah gambut digunakan untuk aktiviti pertanian dan perladangan, kawasan tersebut perlu dikeringkan melalui pembinaan rangkaian terusan.
Menurut penyelidikan Pantau Gambut, rangkaian terusan di kawasan tanah gambut Indonesia dianggarkan sepanjang 285,000 kilometer, bersamaan kira-kira tujuh kali lilitan bumi.

Keadaan ini menyebabkan tanah gambut menjadi kering dan mudah terbakar, terutama ketika fenomena El Nino yang kuat, yang boleh membawa kemarau teruk ke Indonesia.
Kebakaran tanah gambut selalunya sukar dikesan kerana api tidak semestinya kelihatan di permukaan.
Bagaimanapun, kebakaran tersebut boleh dikenal pasti melalui asap berbau busuk yang dibebaskan serta haba yang terhasil di bawah permukaan tanah.
Kesan kebakaran tanah gambut
Menurut penyelidikan Greenpeace, walaupun kebakaran tanah gambut menyumbang kurang daripada satu pertiga daripada keseluruhan kebakaran hutan di Indonesia, ia menghasilkan sebahagian besar jerebu.
Asap toksik yang terhasil mengandungi pelbagai bahan berbahaya termasuk formaldehid, hidrogen sianida dan ammonia.
Ia juga mengandungi zarah halus PM2.5 yang cukup kecil untuk memasuki paru-paru atau aliran darah manusia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengaitkan pendedahan kepada PM2.5 dengan peningkatan risiko penyakit dan kematian.
Akibat masalah jerebu, Indonesia dan Malaysia telah mengarahkan penutupan ratusan sekolah.
Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, lebih 170,000 individu memerlukan rawatan akibat jangkitan saluran pernafasan akut sepanjang Ogos dan September.
Selain menjejaskan kesihatan manusia, kebakaran tanah gambut turut memusnahkan habitat hidupan liar.
Keadaan ini meningkatkan lagi ancaman terhadap spesies yang sudah terancam seperti orang utan dan badak Sumatera.
Jadi, kebakaran hutan yang berlaku bukan semata-mata melibatkan pokok dan tumbuh-tumbuhan yang dijilat api di permukaan tanah.
Sebaliknya, api juga boleh terus membara jauh di bawah permukaan, menyebabkan kebakaran sukar dikesan dan dipadamkan sepenuhnya.
Fenomena ini membuktikan betapa pentingnya tanah gambut dijaga dan dipulihara bagi mengelakkan kebakaran berpanjangan yang bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah kesihatan manusia.
