Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pertikai Hak Penjagaan Anak, Lelaki Tembak Mati Enam Pegawai Kebajikan Di Jerman

JERMAN
Kredit: AFP

Pertikai Hak Penjagaan Anak, Lelaki Tembak Mati Enam Pegawai Kebajikan Di Jerman

Satu insiden tembakan di sebuah pusat perlindungan ibu dan anak di Germany mengorbankan enam pegawai kebajikan dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu, lapor CNN.

Menurut polis, mangsa yang terkorban terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki yang disahkan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Pihak berkuasa berkata, suspek merupakan seorang lelaki warga Turki berusia 45 tahun yang dilahirkan di Jerman dan berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian.

Menurut siasatan awal, motif serangan dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak perempuannya yang baru berusia tiga bulan.

Ketika kejadian, bayi tersebut bersama ibunya yang berusia 34 tahun turut berada di pusat perlindungan berkenaan.

Polis berkata, bayi itu kini ditempatkan di bawah jagaan pejabat kebajikan belia, manakala ibunya masih berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, suspek dipercayai cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita berusia 65 tahun yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya.

Bagaimanapun, wanita itu berjaya ditahan selepas dikejar polis sejurus selepas cubaan melarikan diri.

Polis mengesahkan keadaan di lokasi kini selamat dan tiada ancaman lanjut kepada orang awam, namun meminta orang ramai menjauhi kawasan berkenaan bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier dan Canselor Jerman, Friedrich Merz turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta merakamkan penghargaan kepada pasukan kecemasan yang bertindak pantas.

Sementara itu, seorang ahli majlis tempatan, Carsten Brokelmann berkata, sebuah pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah rendah terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Kami bersyukur semua kakitangan dan kanak-kanak di pusat jagaan serta sekolah rendah berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden itu berlaku di bandar Stade yang terletak kira-kira 45 kilometer dari Hamburg.

Untuk rekod, kejadian tembakan rambang jarang berlaku di Jerman berikutan negara itu mempunyai undang-undang pemilikan senjata api yang ketat.

Sumber:CNN