Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pesawat Kargo Terbabas Ke Laut Di Hong Kong

Hannah
pesawat terbabas
Gambar: CNN

Pesawat Kargo Terbabas Ke Laut Di Hong Kong

Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) awal pagi Isnin bertukar kecoh apabila sebuah pesawat kargo tergelincir dari landasan dan terbabas ke laut.

Menurut pihak berkuasa, insiden itu berlaku sekitar jam 3.50 pagi waktu tempatan ketika pesawat Boeing yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan kargo Turki, ACT Airlines, sedang mendarat dari Dubai.

Pesawat itu dilaporkan terbabas dari landasan dan terbelah dua selepas terjunam ke laut, lapor CNN.

“Ketika kejadian, sebuah kereta rondaan keselamatan berada di kawasan tersebut. Pesawat berkenaan melanggar kenderaan itu dan menolaknya ke laut,” kata Pengarah Eksekutif Operasi Lapangan Terbang HKIA, Steven Yiu.

Lapor CNN lagi, kedua-dua petugas di dalam kereta tersebut disahkan maut.

Rakaman video di lokasi menunjukkan pesawat berkenaan separuh tenggelam dengan bahagian ekor terputus. Manakala, bahagian hadapan di bawah kokpit mengalami kerosakan teruk.

Empat kru penerbangan di dalam pesawat telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Menurut Ketua Teknikal Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong, Wesley Yung, pesawat itu tidak menunjukkan sebarang tanda kecemasan sebelum mendarat.

“Kami tidak menerima sebarang permintaan bantuan daripada juruterbang,” jelasnya.

Lebih 200 anggota penyelamat, termasuk jentera bomba dan bot, dikerahkan dalam operasi besar-besaran menyelamat di sekitar kawasan kejadian pada pagi Isnin.

Susulan insiden itu, operasi di landasan utara lapangan terbang dihentikan sementara sehingga pesawat berjaya dialihkan dari laut.

Namun begitu, dua lagi landasan masih beroperasi seperti biasa dan lebih 1,000 penerbangan harian tidak dijangka terjejas, kata Yiu.

Pesawat tersebut menggunakan nombor penerbangan Emirates, namun jurucakap syarikat itu menjelaskan bahawa pesawat tersebut disewa daripada ACT Airlines bagi menambah kapasiti kargo.

“Semua kru disahkan selamat dan tiada muatan kargo dibawa ketika kejadian,” kata jurucakap Emirates.

BACA: Bateri Dibawa Dalam Kabin Tiba-Tiba Terbakar, Penerbangan Terpaksa Dilencongkan

Sumber: CNN