Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pesawat Peribadi Terhempas, Bekas Pemandu NASCAR Antara Tujuh Terkorban
Amerika Syarikat — Sebuah jet peribadi terhempas di North Carolina pada Khamis, mengorbankan kesemua tujuh individu di dalamnya, termasuk seorang bekas pemandu kereta lumba dan keluarganya.
Memetik laporan AFP, Polis Lebuhraya Negeri North Carolina memaklumkan pesawat tersebut baru sahaja berlepas sebelum berpatah balik untuk mendarat, namun terhempas tidak lama kemudian.
Jet itu berlepas dari Lapangan Terbang Statesville, di utara bandar Charlotte.
“Terdapat seramai tujuh orang di dalam pesawat itu dan semuanya terkorban,” kata Sheriff Daerah Iredell, Darren Campbell kepada AFP.
Antara mangsa yang terkorban ialah bekas pemandu perlumbaan NASCAR, Greg Biffle, yang disahkan oleh NASCAR.
“Keluarga besar NASCAR amat terkesan dengan kehilangan Greg Biffle, yang merupakan salah seorang daripada 75 pemandu terhebat kami dan dikenali dengan kerja-kerja kemanusiaan beliau yang tidak kenal penat lelah selepas bersara. Kami mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya,” kata organisasi perlumbaan itu menerusi platform X.
Turut terkorban ialah isteri Biffle, Cristina Grossu Biffle, serta dua anak mereka.
Keadaan cuaca dipercayai memainkan peranan dalam nahas tersebut, menurut media tempatan yang melaporkan keadaan cuaca buruk ketika kejadian termasuk gerimis dan litupan awan rendah.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat memaklumkan pihaknya akan menubuhkan pasukan penyiasat bagi menyiasat nahas melibatkan pesawat jenis Cessna Citation C550 itu.
“Pasukan dijangka tiba di lokasi kejadian malam ini,” menurut kenyataan agensi berkenaan.
Sumber: AFP