Siasatan terhadap dakwaan pencemaran petrol RON95 di beberapa stesen minyak Petron di wilayah utara selesai dijalankan, dengan hasil pemeriksaan mendapati bahan api berkenaan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Petron Malaysia dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang bukti pencemaran dikesan sepanjang siasatan dijalankan, termasuk dakwaan mengenai kewujudan air dalam bahan api.
“Dan tiada bukti pencemaran, termasuk pencemaran air, dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut syarikat itu, pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap aspek kualiti dan keselamatan produk yang dibekalkan kepada pengguna di seluruh rangkaian stesen minyak Petron.
“Kami akan terus memastikan produk kami kekal berkualiti dan selamat di semua stesen minyak Petron.
“Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda,” tambahnya.
Siasatan berkenaan dijalankan selepas Petron Malaysia menerima perhatian terhadap dakwaan berlaku pencemaran bahan api di beberapa stesen minyak kendaliannya di wilayah utara.
Isu itu mula mendapat perhatian susulan perkongsian pengguna di media sosial yang mendakwa berlaku masalah berkaitan kualiti petrol RON95 yang diperoleh dari beberapa stesen Petron.
Dakwaan berkenaan turut tersebar menerusi platform Threads sebelum Petron Malaysia mengambil tindakan menjalankan siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara tersebut.
Dengan selesainya siasatan, Petron Malaysia menegaskan hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan berlakunya pencemaran terhadap petrol RON95 di stesen terbabit.

