Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Petrosains, cabang impak sosial PETRONAS, terus melakar kejayaan apabila meraih pengiktirafan nasional sulungnya di Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2026 menerusi kemenangan Anugerah Syarikat Terbaik Tahun bagi Kategori Pusat Sains – Pendidikan, Kelestarian dan Transformasi, sebagai pengiktirafan terhadap komitmennya dalam memperluaskan akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang inklusif, relevan dan bermakna kepada masyarakat di seluruh Malaysia.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sekali gus mengiktiraf peranan Petrosains dalam merapatkan jurang pendidikan serta membawa pengalaman pembelajaran STEM lebih dekat kepada komuniti luar bandar, masyarakat Orang Asli dan Peribumi melalui Petrosains, The Discovery Centre, rangkaian Pusat Satelit PlaySmart di Johor Bahru, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu, Petrosains PlayFarm, program outreach Discovery Rover, inisiatif Tech4All serta pelbagai program komuniti di seluruh negara.
Lebih daripada sekadar melahirkan bakat STEM masa depan, Petrosains turut menyediakan peluang pembelajaran yang inklusif kepada komuniti Orang Asli dan Peribumi, pelajar neurodivergen, Orang Kurang Upaya (OKU) serta kanak-kanak daripada latar belakang kurang berkemampuan. Usaha ini memastikan lebih ramai generasi muda berpeluang untuk belajar, meneroka potensi diri dan membina masa depan yang lebih cerah melalui dunia sains.
Memasuki tahun ke-11 penganjurannya, Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia merupakan antara platform pengiktirafan paling berprestij di negara ini yang meraikan organisasi yang cemerlang dalam menggerakkan agenda kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Encik Ezarisma Azni Mohamad, berkata:
"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini, yang mencerminkan usaha kolektif warga kerja, pendidik, rakan strategik, sukarelawan serta komuniti yang berkongsi keyakinan bahawa sains harus dapat diakses oleh semua. Sebagai cabang impak sosial PETRONAS, kami akan terus memperkasa pendidikan, kelestarian dan impak sosial melalui pembelajaran STEM, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi masa depan."
Seiring dengan usaha memperluaskan akses kepada pendidikan STEM, Petrosains turut menerapkan elemen kelestarian dalam program dan pengalaman pembelajarannya. Antara inisiatif terkini termasuk transformasi Petrosains PlayFarm di Johor Bahru serta penambahbaikan Galeri Kelestarian di Petrosains, The Discovery Centre yang menawarkan pengalaman interaktif bagi meningkatkan kesedaran mengenai amalan hidup lestari.
Petrosains juga komited memupuk budaya penjagaan alam sekitar menerusi inisiatif seperti 3E@Schools serta Waste to Product, yang menggalakkan amalan ekonomi kitaran dengan mengitar semula bahan industri terpakai kepada produk baharu yang mempunyai nilai guna seperti sarung komputer riba dan beg pelbagai guna.

Pengiktirafan ini turut mencerminkan peranan Petrosains dalam menyokong aspirasi PETRONAS dalam memupuk peralihan yang adil, yang melihat kelestarian bukan sahaja dari sudut pemeliharaan alam sekitar, malah merangkumi usaha memperkasa masyarakat, memperkukuh komuniti dan mewujudkan peluang yang lebih inklusif untuk semua.
Dalam meneruskan misinya menyemarakkan rasa ingin tahu, mencetus inspirasi dan mengubah kehidupan melalui sains, Petrosains kekal komited untuk membina masa depan di mana pendidikan STEM dapat diakses oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, latar belakang mahupun keadaan sosioekonomi.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan