PETALING JAYA, 22 Sept (Bernama) -- Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan percaya Harimau Malaya tidak mustahil melangkah ke final Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia dari 25 Sept hingga 5 Okt ini.
Ab Ghani berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kualiti dan kemampuan pemain yang dipilih untuk menggalas cabaran negara pada edisi sulung kejohanan berkenaan.
“Saya mengharapkan mereka bermain bersungguh-sungguh dan saya katakan, bukan bermain untuk saya, bukan bermain untuk FAM, tetapi bermain untuk negara. Ini yang perlu mereka terapkan.
“Apabila kita bermain untuk negara, hati kita penuh untuk negara, maka tidak mustahil mereka boleh melaksanakannya, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 100 Tahun FAM di sini, malam ini.
Turut hadir Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Antara 23 pemain yang disenaraikan untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2026 ialah pemain sayap sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi; rakan sepasukannya yang juga penyerang naturalisasi baharu, Bergson da Silva; serta pemain pertahanan kelab Jepun, Cerezo Osaka, Dion Cools.
Skuad Harimau Malaya yang berlepas ke Indonesia awal pagi tadi akan bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh.
Kumpulan B pula menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia yang berada pada kedudukan ke-136 dunia akan memulakan kempen menentang Bangladesh, yang menduduki ranking ke-181, di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Sept.
Skuad kebangsaan kemudian berdepan Indonesia, yang berada di kedudukan ke-118 dunia, di venue sama pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A menentang Singapura, ranking ke-148 dunia, di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt.
Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu pada perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang hari yang sama.
-- BERNAMA

