Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Piala Dunia: Speedy Tigers Tewas Kepada Belgium Selepas Tampil Aksi Bertenaga

Speedy Tigers Tewas
Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Kebangsaan Brendan Carolan --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia memberikan tentangan sengit kepada pasukan yang menduduki ranking nombor satu dunia, Belgium sebelum tewas 3-5 pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Dunia Hoki Lelaki FIH 2026 di Belfius Hockey Arena di Wavre, Belgium awal hari ini.

Skuad Speedy Tigers bangkit dua kali menerusi gol pukulan sudut penalti Nik Aiman Nik Rozemi pada minit ke-31 dan Marhan Jalil enam minit kemudian, sebelum Akhimullah Anuar Esook menambah gol padang pada minit ke-52.

Bagaimanapun, penyerang prolifik Belgium Tom Boon menjadi pemusnah apabila menjaringkan empat gol pada minit ke-16, 19, 35 dan 52, selain Thibeau Stockbroekx turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-43.

Ketua jurulatih kebangsaan Brendon Carolan tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya walaupun tewas, sambil berkata kesilapan kecil akhirnya memisahkan kedua-dua pasukan.

“Satu persembahan yang baik hari ini. Sudah tentu kami mahu memperoleh keputusan yang baik. Kami sentiasa mahu mendapatkan keputusan itu. Pemain bekerja keras dengan sistem pertahanan baharu, jadi kami hanya perlu melakukan penambahbaikan kecil. Kesilapan kecil yang membezakan kami pada tahap ini,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Malaysia ketinggalan dua kali selepas Boon menjaringkan dua gol pada suku kedua permainan, namun Nik Aiman berjaya merapatkan jurang seminit selepas babak kedua bermula apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada penampilan antarabangsa ke-200 beliau.

Boon kembali meletakkan Belgium dengan kelebihan dua gol sebelum Marhan menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 3-2, namun Stockbroekx kemudiannya menjadikan kedudukan 4-2 sebelum Boon meledakkan gol keempat peribadi menerusi pukulan sudut penalti manakala Akhimullah menyumbat gol terakhir skuad negara untuk merapatkan jurang kepada 5-3.

Carolan berkata tumpuan kini akan beralih kepada peringkat kedua kejohanan, dengan Malaysia perlu membuat persiapan segera sebaik sahaja lawan mereka disahkan.

“Sudah tentu kami perlu mengenal pasti siapa lawan kami pada perlawanan selepas ini dan kami perlu membuat persiapan sewajarnya untuk perlawanan itu kerana kami mahu memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

“Saya rasa kami bermain dengan agak baik dan saya rasa kami akan memastikan persiapan kami lengkap untuk menghadapi pasukan yang berada dalam kumpulan kami bagi memastikan kami bersedia untuk beraksi dalam tempoh dua hari,” kata jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu.

Malaysia menamatkan kempen Kumpulan B dengan satu mata daripada tiga perlawanan selepas membuka saingan dengan kekalahan 1-5 kepada juara bertahan Jerman sebelum mengikat Perancis 3-3 dalam perlawanan kedua.

Skuad Speedy Tigers kini akan mengalihkan perhatian kepada fasa seterusnya, dengan lawan mereka akan ditentukan selepas tamat baki perlawanan peringkat kumpulan.

Intipati
  • Malaysia tewas 3-5 kepada Belgium dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Wavre.
  • Nik Aiman, Marhan Jalil dan Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol untuk skuad negara.
  • Brendon Carolan berkata kesilapan kecil membezakan Malaysia dengan Belgium pada tahap pertandingan itu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan