Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Player Muzik Ikonik Winamp Bakal "Comeback" Tahun Depan Dalam Versi Generasi Baharu

Player Muzik Ikonik Winamp
Kredit: Winamp

Player Muzik Ikonik Winamp Bakal "Comeback" Tahun Depan Dalam Versi Generasi Baharu

Ramai kini menggunakan Spotify, Apple Music dan pelbagai lagi aplikasi penstriman muzik moden.

Namun, jangan dilupakan Winamp, pemain muzik ikonik yang pernah menjadi pilihan ramai suatu ketika dahulu.

Winamp bakal membuat kemunculan semula selepas mengumumkan kerjasama strategik dengan Deezer pada Rabu lalu.

Menurut kenyataan Winamp, kerjasama itu akan memacu perkhidmatan langganan muzik premium miliknya sendiri.

Dijadualkan dilancarkan pada separuh pertama 2027, Winamp Player generasi baharu bakal memperkenalkan pengalaman mendengar muzik yang direka semula bagi menyesuaikan pemain muzik tersebut dengan era penstriman.

Di bawah perjanjian itu, Deezer akan menyediakan teknologi penstriman muzik yang boleh dijenamakan semula serta akses kepada katalog muzik globalnya.

Ia sekali gus membolehkan Winamp melancarkan perkhidmatan langganan premium di bawah jenamanya sendiri.

Perkhidmatan tersebut akan disepadukan sepenuhnya ke dalam Winamp Player baharu dan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pengalaman asli platform berkenaan.

Berbeza dengan platform penstriman digital tradisional, Winamp Player baharu tidak hanya tertumpu kepada penstriman muzik.

Ia bakal menghimpunkan perkhidmatan penstriman premium, koleksi muzik yang disimpan dalam peranti pengguna, stesen radio internet, podcast, koleksi peribadi berasaskan awan serta sumber audio lain dalam satu aplikasi.

Pada masa sama, Winamp turut merancang untuk memperkenalkan antara muka yang boleh disesuaikan, ciri sosial baharu serta kaedah inovatif untuk mencari, menyusun dan menikmati muzik.

Walaupun butiran penuh produk itu hanya akan didedahkan menjelang pelancarannya, Winamp berkata perkhidmatan tersebut bakal menawarkan pengalaman yang berbeza daripada platform penstriman digital sedia ada.

Lebih 25 tahun lalu, Winamp mengubah cara jutaan pengguna mendengar muzik digital.

Walaupun perkhidmatan penstriman berkembang pesat sepanjang sedekad lalu, Winamp percaya konsep asas pemain muzik sebahagian besarnya masih tidak berubah.

Syarikat itu kini berhasrat untuk sekali lagi mencabar kebiasaan berkenaan menerusi generasi baharu pemain muziknya.

Selepas platform tersebut dilancarkan, pemain desktop Winamp yang masih digunakan secara aktif oleh lebih 40 juta pengguna di seluruh dunia turut akan menawarkan perkhidmatan langganan muzik premium yang dipacu oleh teknologi penstriman Deezer.

“Winamp sejak dahulu lagi memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menikmati muzik mengikut cara mereka sendiri.

“Dua puluh lima tahun lalu, kami mengubah cara orang mendengar muzik digital dan kami percaya kini tiba masanya untuk sekali lagi mencabar pengalaman mendengar muzik,” katanya.

Sumber:Winamp
Intipati
  • Winamp Player generasi baharu dijadualkan dilancarkan pada separuh pertama 2027.
  • Deezer akan menyediakan teknologi penstriman dan akses kepada katalog muzik globalnya.
  • Aplikasi baharu bakal menghimpunkan penstriman, fail peranti, radio internet, podcast dan audio awan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan