Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Seru Bakal Guru Terus Perbaiki Diri, Jangan Cepat Berpuas Hati Dengan Pencapaian

GURU
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim Ibrahim

PM Anwar Seru Bakal Guru Terus Perbaiki Diri, Jangan Cepat Berpuas Hati Dengan Pencapaian

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru bakal pendidik agar tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian sendiri, sebaliknya terus memperbaiki diri demi melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini, asas kepimpinan bermula dengan sikap sentiasa mahu menambah baik diri serta menyempurnakan setiap amanah dan tanggungjawab yang dipikul.

Menurut beliau, semangat itqan fil 'amal perlu diterapkan dalam diri setiap pendidik, iaitu menyempurnakan setiap pekerjaan sebaik mungkin sambil terus meningkatkan ilmu, akhlak, ibadah, pendekatan pengajaran serta mutu kerja.

“Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan yang sentiasa bersedia belajar, menerima perubahan dan meningkatkan kualiti diri,” katanya.

Anwar berkata, dunia kini berkembang pesat dengan kemajuan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta peralihan tenaga, justeru guru dan bakal pemimpin perlu berani melakukan inovasi serta menguasai kemahiran baharu.

Menurutnya, pendekatan pedagogi juga perlu sentiasa disesuaikan dengan tuntutan semasa agar sistem pendidikan negara kekal relevan dan mampu melahirkan modal insan berkualiti.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan dalam sesi dialog Temu Anwar Bersama Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik Nilai hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan keyakinan bahawa generasi muda memiliki potensi besar untuk memimpin perubahan pada masa hadapan.

Namun, ujarnya, potensi tersebut hanya dapat direalisasikan menerusi penguasaan ilmu dan kemahiran, kerjasama erat dengan industri serta semangat yang tidak pernah luntur untuk terus mengejar kecemerlangan.