Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Jepun & Macron Buat Gaya Kamehameha, Gelagat "Rare" Jadi Tumpuan

PM Jepun & Macron
Kredit: Emmanuel Macron

PM Jepun & Macron Buat Gaya Kamehameha, Gelagat “Rare” Jadi Tumpuan

Setiap pertemuan antara pemimpin dunia mempunyai peraturan atau protokol yang tersendiri. Kebiasaannya, protokol itu akan diikuti dengan teliti bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Namun, kadang kala ada pemimpin yang keluar dari 'zon' formaliti dan mencuba pendekatan santai untuk 'memeriahkan' suasana.

Ia dapat dilihat pada Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi. Walaupun ada masanya beliau kelihatan sangat tegas, Takaichi bagaimanapun sentiasa mempunyai cara untuk berseloroh dengan pemimpin dari negara lain.

Pose gaya kamehameha

Buktinya, pertemuan beliau dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Rabu mendapat perhatian ramai kerana aksinya yang sangat tidak terjangka.

Semasa sidang akhbar yang diadakan di Tokyo, Takaichi dengan santai menunjukkan gaya 'kamehameha' yang popular menerusi animasi Dragon Ball.

Gaya itu dilakukannya bersama Macron ketika sesi bergambar, selepas tamat sidang akhbar tersebut.

Macron dilihat sangat menyenangi gelagat Takaichi itu dan menerima tepukan gemuruh dari hadirin di situ.

Malah, video tersebut turut dikongsikan oleh Macron di laman X miliknya.

Sebelum ini, Takaichi juga pernah mencuri tumpuan kerana 'jamming' lagu K-pop bersama Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung selepas sidang kemuncak pada Januari lalu.

Sementara itu, pertemuan antara Takaichi dan Macron adalah bagi membincangkan kerjasama mereka dalam menghadapi krisis tenaga semasa, lapor AFP.

“Kami berkongsi kepercayaan terhadap undang-undang antarabangsa dan susunan antarabangsa berdasarkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kami juga percaya pada nilai-nilai demokrasi yang kami pertahankan.

“Inilah sebabnya kami berdua menyokong kembalinya keamanan, gencatan senjata, ketenangan dan pergerakan bebas melalui Selat Hormuz,” kata Macron.

Takaichi turut menyokong perkara itu, dengan mengatakan kedua-dua pemimpin telah bersetuju tentang kepentingan memastikan keselamatan navigasi di Selat Hormuz, mengekalkan bekalan bahan penting yang stabil dan menenangkan keadaan secepat mungkin.

Lawatan Macron, yang keempat ke negara itu, berlaku ketika hubungan China-Jepun semakin buruk susulan cadangan Takaichi pada November bahawa Tokyo mungkin campur tangan secara ketenteraan dalam sebarang percubaan China untuk menawan Taiwan.