PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Notis dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap Perikatan Nasional (PN) bukan keputusan membatalkan pendaftaran parti itu, sebaliknya bagi memberi ruang kepada PN menjelaskan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] itu, dikeluarkan pada 22 Sept dan PN diberikan tempoh munasabah untuk menjawabnya.
“Notis tersebut bertujuan untuk meminta Perikatan Nasional memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada RoS dan notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran,” menurut kenyataan itu.
Susulan notis tersebut, RoS memaklumkan perintah penggantungan juga telah dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta 832, yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa semalam.
“Perintah penggantungan ini bertujuan untuk menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya,” menurut kenyataan itu.
RoS turut menyeru semua pihak supaya merujuk maklumat rasmi yang dikeluarkan jabatan itu, serta mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Pada 11 Ogos, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Jabatan itu memaklumkan aduan berkenaan turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

