Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Portugal Singkir Croatia 2-1, Ronaldo Catat Gol Sulung Aksi Kalah Mati Piala Dunia

PORTUGAL
Kredit: AFP

Portugal Singkir Croatia 2-1, Ronaldo Catat Gol Sulung Aksi Kalah Mati Piala Dunia

Portugal mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Croatia 2-1 dalam aksi penuh dramatik yang berakhir dengan jaringan kemenangan pada masa kecederaan di Stadium Toronto, hari ini.

Lapor ESPN, gol penentu kemenangan skuad kendalian Roberto Martinez hadir pada minit ke-94 menerusi tandukan pemain gantian, Goncalo Ramos yang bijak menyempurnakan hantaran Rafael Leao.

Croatia yang tampil lebih agresif sepanjang perlawanan hampir mengheret aksi ke masa tambahan, namun jaringan lewat Josko Gvardiol dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kedudukan ofsaid.

Skuad Croatia terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-53 menerusi Ivan Perisic yang berjaya menewaskan penjaga gol Portugal, Diogo Costa.

Portugal hampir menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian menerusi Cristiano Ronaldo, namun jaringan itu tidak dikira selepas bintang veteran tersebut dikesan berada dalam posisi ofsaid.

Pasukan Selecao akhirnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ronaldo selepas VAR mengesahkan Nikola Vlasic melakukan kekasaran terhadap Renato Veiga di dalam kotak penalti.

Gol itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jaringan pertama Ronaldo dalam aksi kalah mati Piala Dunia sepanjang karier antarabangsanya.

Croatia terus memberi tekanan dalam usaha mencari gol kemenangan, termasuk percubaan Mateo Kovacic yang berjaya ditepis Costa ke tiang gol selain jaringan Petar Sucic yang turut dibatalkan kerana ofsaid.

Ronaldo kemudian dikeluarkan pada minit ke-81 sebelum Portugal memperoleh detik penentu apabila Ramos muncul wira dengan tandukan kemenangan pada penghujung permainan.

Kemenangan itu menyaksikan Portugal bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Sepanyol, dalam aksi pusingan 16 terbaik di Dallas pada Isnin depan yang dijangka menjadi antara perlawanan paling dinanti dalam kejohanan.