Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PPUM Berjaya Laksana Pemindahan Hati Bayi Empat Bulan
Kejayaan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menyelamatkan nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan melalui pembedahan pemindahan hati menerima pujian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang menyifatkannya sebagai bukti jelas keupayaan Malaysia dalam bidang perubatan bertaraf dunia.
Menurut perkongsian beliau, insiden kritikal itu berlaku pada 25 November lalu apabila bayi berkenaan, dengan berat hanya 6.2 kilogram dan mengalami kegagalan fungsi hati, sedang dipersiapkan untuk pembedahan pemindahan hati.
Harapan terakhir bayi tersebut terletak pada ibunya sendiri yang bersedia menderma sebahagian hatinya.
Bagaimanapun, beberapa minit sebelum prosedur dimulakan, bayi itu tiba-tiba rebah apabila jantungnya terhenti.
Suasana di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik bertukar cemas apabila pasukan perubatan terpaksa melakukan resusitasi selama hampir satu jam dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit kecil itu.
“Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan kembali bayi tersebut, malah dengan clinical judgement yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat: Pembedahan diteruskan.
“Risikonya amat tinggi. Pembuluh darah bayi seberat 6kg adalah sangat halus. Namun, berkat kepakaran pakar bedah, pakar bius dan jururawat kita, pembedahan pemindahan hati itu berjaya,” kongsi Dr Dzulkefly.
Beliau menyifatkan kejayaan tersebut bukan sahaja sebagai pencapaian perubatan, malah lambang semangat pengorbanan seorang ibu serta dedikasi luar biasa pasukan perubatan yang tidak mengenal erti putus asa.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan komitmen beliau untuk terus memacu Agenda Transplan Nasional 2026, selari dengan keperluan memperkukuh sistem sokongan serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan organ.
“Kejayaan di PPUM ini adalah bukti bahawa Malaysia memiliki kepakaran bertaraf dunia. Kita ada bakat untuk mencipta keajaiban. Apa yang kita perlukan sekarang adalah sistem sokongan dan kesedaran rakyat untuk tampil berikrar sebagai penderma,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan PPUM, sambil menyifatkan mereka sebagai wira sebenar yang membuka tirai kejayaan kesihatan negara bagi tahun 2026.
“Dan buat adik kecil ini… selamat membesar. Satu Malaysia doakan awak,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, kejayaan bersejarah PPUM ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tahniah kepada pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram.
“Ia mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara, khususnya dalam menangani prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi,” kata beliau menerusi ciapan di platform X.
BACA: Maksud Sebenar 6 Warna Kain Penutup Jenazah Di Masjidil Haram
Sumber: Dr Dzulkefly Ahmad/FB