Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Presiden Myanmar Diberi Sambutan Rasmi Di Putrajaya

Presiden Myanmar
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Presiden Myanmar Min Aung Hlaing yang sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula semalam, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau kira-kira 9 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Min Aung Hlaing kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Muhammad Nur Addeen Mustaza.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, barisan Jemaah Menteri, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.

Selepas upacara sambutan, Min Aung Hlaing menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar, diikuti mesyuarat dua hala membabitkan menteri kanan serta pegawai kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa isu utama antara dua negara, antaranya usaha pemulangan warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah, dengan proses itu dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.

Kedua-dua pemimpin turut dijangka meneliti usaha yang sedang dilaksanakan melalui mekanisme ASEAN.

Intipati
  • Min Aung Hlaing diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra pagi ini.
  • Anwar menyambut ketibaan beliau sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
  • Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pemulangan warga Myanmar dan usaha melalui mekanisme ASEAN.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan