Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand Letak Jawatan
Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand, Thana Chaiprasit atau lebih dikenali sebagai "Big Tom", dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan.
Menurut laporan media tempatan, keputusan itu dibuat selepas prestasi pasukan kebangsaan lelaki Thailand gagal mencapai sasaran pada Sukan SEA 2025.
Dalam surat peletakan jawatan yang dikemukakan pada Selasa, beliau menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab atas keputusan mengecewakan pasukan negara itu.
Ini khususnya dalam acara lelaki yang gagal meraih sebarang pingat emas buat pertama kali dalam tempoh 34 tahun.
"Pada Sukan SEA ke-33 yang dianjurkan Thailand, terutama dalam acara sepak takraw lelaki, pasukan gagal memenangi emas dalam semua kategori buat pertama kali dalam 34 tahun.
"Perkara ini mengecewakan orang ramai dan peminat sukan. Sehubungan itu, saya menerima tanggungjawab dan meletak jawatan sebagai presiden," katanya dalam kenyataan tersebut.
Thailand dilaporkan gagal meraih tiga pingat emas utama yang menjadi sasaran.
Pasukan lelaki negara itu tewas 1-2 kepada Malaysia pada perlawanan akhir acara berpasukan, sekali gus menamatkan dominasi panjang mereka dalam acara tersebut.
Dalam acara regu lelaki, Thailand tersingkir di separuh akhir selepas tewas kepada Vietnam. Manakala, pasukan kuadran (empat pemain) hanya meraih pingat gangsa selepas kalah 1-2 kepada Vietnam pada peringkat separuh akhir.
Selain itu, pada kejohanan Pra-Sukan Asia, pasukan Thailand turut gagal meraih emas selepas tewas 0-2 kepada India di separuh akhir.
Susulan peletakan jawatan tersebut, Persatuan Sepak Takraw Thailand akan mengadakan pemilihan barisan kepimpinan baharu dalam tempoh 30 hari, selaras dengan perlembagaan persatuan.