Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dilapor telah meninggalkan Maldives dengan menaiki kapal terbang milik sebuah syarikat penerbangan Arab Saudi dan terbang menuju ke Singapura, menurut sumber menerusi laporan BBC.
Difahamkan, Rajapaksa telah melarikan ke Maldives semalam berikutan protes besar-besaran terhadap krisis ekonomi di Sri Lanka ketika ini.
Walau bagaimanapun, masih tidak dipastikan jika Rajapaksa akan menetap di Singapura atau beliau hanya menjadikan negara tersebut sebagai destinasi persinggahan.
Sebelum ini, beliau telah berikrar untuk meletakkan jawatan pada hari Rabu, namun surat peletakan jawatan secara rasmi masih belum dihantar lagi setakat ini.
Dalam pada itu, tindakan pemimpin itu melarikan diri ke luar negara sebelum meletakkan jawatan adalah dipercayai untuk mendapatkan imuniti atau perlindungan daripada pendakwaan.

Tindakan tersebut adalah untuk mengelakkan kemungkinan pemimpin itu daripada ditangkap dan didakwa oleh pentadbiran kerajaan baharu.
Sementara itu, pemangku Presiden, Ranil Wickremesinghe telah mengeluarkan perintah berkurung untuk hari kedua pada Khamis.
Kerajaan di bawah pentadbirannya mengarahkan perintah berkurung bermula dari tengah hari sehingga hari Jumaat untuk meredakan protes tersebut.
Imbas kembali, Wickremesinghe telah dilantik sebagai pemangku presiden selepas Rajapaksa melarikan ke luar negara.
Tetapi keputusan tersebut telah menambahkan lagi api kemarahan penunjuk perasaan dan menuntut agar beliau juga meletakkan jawatan.
Untuk rekod, seorang maut dan 84 orang lagi mengalami kecederaan setakat ini selepas insiden protes tercetus pada hari Rabu.
Difahamkan, insiden protes tersebut berlaku di beberapa mercu tanda utama di sekitar ibu kota, Colombo termasuklah di pejabat Perdana Menteri.
Imbas kembali laporan terdahulu, kediaman rasmi Rajapaksa di Colombo diserang oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.
Pencerobohan secara gerila tersebut menyebabkan presiden berkenaan terpaksa membuat keputusan melarikan diri meninggalkan Sri Lanka melalui jalan udara.
Memetik laporan NDTV baru-baru ini, Rajapaksa dilapor terbang ke Maldives pada awal Rabu dan berkemungkinan ia adalah langkah awal dalam proses peletakan jawatannya.
Terdahulu, Rajapaksa didakwa telah melakukan salah urus ekonomi sehingga negara tersebut bangkrap dan mengalami krisis inflasi yang teruk sehingga menjejaskan 22 juta rakyatnya.
Sumber: BBC