Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berjalan dengan lancar pada pagi ini.
Namun, suasana di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah Jempol mencuri tumpuan susulan kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengiringi calon parti masing-masing.
Asyraf menerusi perkongsian di Facebook miliknya memuat naik beberapa gambar yang menyaksikan pertemuannya dengan Abdul Hadi.


"Mengiringi calon-calon BN dan PN di Dun-Dun di bawah Parlimen Jempol bersama Presiden PAS Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang dan ribuan penyokong-penyokong setia kedua-dua parti," katanya.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan seramai 25 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menampilkan gabungan penyandang dan muka baharu.
Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan senarai itu turut mengesahkan beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.
PRN Negeri Sembilan diadakan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 28 Julai, manakala 1 Ogos sebagai hari pengundian.
Berdasarkan daftar pemilih SPR yang dikemas kini hingga 4 Jun 2026, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa, manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.