Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SEREMBAN, 15 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) malam ini mengumumkan senarai 25 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menampilkan gabungan penyandang dan muka baharu.
Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan senarai itu turut mengesahkan beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.
“Terima kasih Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana) beri kepercayaan (kepada saya) untuk mempertahankan (DUN Rantau),” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera BN dan pengumuman calon bagi PRN kali ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini.
Beliau turut mengumumkan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Ahli Parlimen Jelebu, akan mempertahankan kerusi DUN Pertang yang dimenanginya sejak 2013 manakala Datuk Mohd Faizal Ramli di Linggi dan Datuk Mustapha Nagoor di Palong.
Bagaimanapun, berdasarkan senarai calon yang diedarkan kepada media, terdapat 11 lagi kerusi DUN belum dimuktamadkan iaitu Klawang, Serting, Lobak, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang, Gemas.
Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata gabungan berkenaan hanya mempertaruhkan 25 calon dan berhasrat mencapai persefahaman dengan pihak lain bagi baki 11 kerusi dalam menghadapi pilihan raya tersebut.
“... jadi, kita tunggulah pengumuman pihak sebelah esok,” katanya.
Mengulas mengenai pertembungan di DUN Linggi melibatkan Mohd Faizal yang bakal berdepan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan, beliau berkata calon itu menggalas tugas besar untuk memastikan kemenangan parti di kerusi berkenaan.
“Kita perlu bekerja kuat kerana Mohd Faizal akan bertembung dengan Menteri Besar, dan ini merupakan satu pertempuran yang sengit, ia harus diurus dengan baik untuk kita dapat keputusan yang memihak kepada BN,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata BN tidak menetapkan sasaran jumlah kerusi yang ingin dimenangi pada PRN kali ini namun mengharapkan sokongan rakyat bagi membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
N01 Chennah: Siow Kong Choon (MCA)
N02 Pertang: Datuk Seri Jalaluddin Alias (UMNO)
N03 Sungai Lui: Mohd Razi Mohd Ali (UMNO)
N06 Palong: Datuk Mustapha Nagoor (UMNO)
N07 Jeram Padang: Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (UMNO)
N08 Bahau: Chong Fui Ming (MCA)
N09 Lenggeng: Datuk Mohd Asna Amin (UMNO)
N10 Nilai: Lai Chien Kong (MCA)
N12 Temiang: Leaw Kok Chan (MCA)
N15 Juasseh: Datuk Ismail Lasim (UMNO)
N16 Seri Menanti: Muhammad Sufian Maradzi (UMNO)
N17 Senaling: Mohamad Qayyum Abdul Jalil (UMNO)
N18 Pilah: S Leza Md Yasin (UMNO)
N19 Johol: Datuk Saiful Yazan Sulaiman (UMNO)
N20 Labu: Siti Nurumairah Hasim (UMNO)
N22 Rahang: Yap Siok Moy (MCA)
N24 Seremban Jaya R.T Thinalan (MIC)
N26 Chembong: Datuk Zaifulbahri Idris (UMNO)
N27 Rantau: Datuk Seri Mohamad Hasan (UMNO)
N28 Kota: Suhaimi Aini (UMNO)
N29 Chuah: Pau Jeou Ching (MCA)
N32 Linggi: Datuk Mohd Faizal Ramli (UMNO)
N33 Seri Tanjung: A. Achutan (MIC)
N35 Gemencheh: Suhaimizan Mizar (UMNO)
N36 Repah: Koh Kim Swee (MCA)