Semua program melibatkan seorang penceramah bebas yang kini berdepan beberapa dakwaan tular di media sosial telah diarahkan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dijalankan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata beliau mengambil maklum dakwaan berkenaan yang melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
Beliau berkata dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.
“Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Fadhlina turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata laporan kepada pihak berkuasa penting bagi memastikan kanak-kanak yang terlibat mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.
“Buat masa sekarang saya telah mengarahkan semua program melibatkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan,” katanya.
Fadhlina menegaskan keselamatan murid perlu dipandang serius dan diteliti, selain tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.

