Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan komitmen menyantuni mahasiswa melalui program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya hari ini.

Program yang disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini bertujuan membantu mahasiswa pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Melalui inisiatif ini, MAIWP menyalurkan bantuan tiket bas, tiket kapal terbang serta wang saku perjalanan kepada 6,650 mahasiswa daripada lapan institusi pengajian tinggi dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1,999,800.00.

Antara institusi yang terlibat ialah Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur (UKMKL), Kolej Islam Antarabangsa (KIA) serta Universiti Malaya Kuala Lumpur (UMKL).

Bantuan ini bukan sekadar memudahkan perjalanan pulang, malah membawa makna yang besar buat mahasiswa untuk kembali berkumpul bersama keluarga dan merasai kemeriahan Aidilfitri di kampung halaman setelah sekian lama menuntut ilmu jauh dari rumah.

MAIWP turut merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan. Melalui sumbangan zakat yang diamanahkan, lebih ramai golongan yang memerlukan dapat terus dibantu serta disantuni.

Program ini juga mencerminkan komitmen MAIWP dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, khususnya dalam membantu meringankan beban kos perjalanan menjelang Aidilfitri.

Diharapkan inisiatif seperti ini dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat serta memastikan tiada mahasiswa yang terpaksa menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga kerana kekangan kewangan.