PROTON Cipta Sejarah Jualan Bulanan Tertinggi Dalam 15 Tahun
Susulan kejayaan penutup tahun 2025 yang menyaksikan prestasi jualan mengatasi pertumbuhan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) lebih enam kali ganda, PROTON meneruskan momentum positif dengan mencatat prestasi memberangsangkan pada Januari.
Dengan jualan kumpulan sebanyak 19,833 unit, PROTON merekodkan pencapaian jualan bulanan terbaik dalam tempoh 15 tahun.

Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 35.3 peratus berbanding Disember 2025 serta pertumbuhan dua kali ganda berbanding 9,918 unit yang dijual pada Januari tahun lalu.
Seiring dengan peningkatan tersebut, TIV dianggarkan meningkat sebanyak 28.3 peratus tahun ke tahun, namun menurun sekitar 28.6 peratus berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada Disember 2025.
Berdasarkan pengiraan awal, PROTON dianggarkan pada 30.6 peratus, iaitu satu lagi pencapaian tertinggi sejak Januari 2012, sekaligus mencerminkan permulaan yang positif bagi sasaran PROTON untuk menjual 200,000 unit pada tahun 2026.

Proton Saga pacu pertumbuhan dengan rekod jualan bulanan terbaik
Prestasi kukuh jualan Januari didorong oleh kejayaan Proton Saga 2026 yang mencatat rekod jualan bulanan tertinggi.
Dengan 10,285 unit terjual pada Januari, lebih 19,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan sejak pelancaran rasmi pada 27 November 2025, bersamaan satu unit dihantar setiap lima minit.
Dengan momentum tempahan yang terus kukuh dan hampir 100,000 tempahan diterima setakat ini, model ini dijangka kekal sebagai penyumbang utama jualan PROTON dalam masa terdekat.

“Prestasi jualan Proton Saga 2026 membuktikan daya tarikannya yang meluas dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia. Tidak ramai pengeluar automotif mempunyai model yang kekal dalam pengeluaran selama lebih 40 tahun, dan lebih sedikit yang mampu mencatat rekod jualan baharu selepas empat dekad."
"Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan PROTON dan seluruh rakyat Malaysia. Dengan pelancaran di Brunei pada Februari, pengembangan secara berperingkat ke pasaran antarabangsa lain serta permintaan domestik yang kukuh, lebih banyak pencapaian bakal direkodkan oleh Saga tahun ini,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Model X dan S catat pertumbuhan jualan tahun ke tahun yang kukuh
Selain tumpuan kepada sedan segmen-A, barisan SUV siri X dan sedan siri S PROTON turut memulakan kempen 2026 dengan pertumbuhan jualan tahun ke tahun yang memberangsangkan.
Proton X50 mencatat jualan sebanyak 2,429 unit pada Januari, peningkatan 69.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala Proton X70, model terbaharu PROTON, merekodkan 672 unit, meningkat 16.5 peratus berbanding 2025.
Sementara itu, Proton S70 terus mendapat sambutan positif dan mencatat bulan terbaiknya sejak Mei 2025.
Sebanyak 1,604 unit terjual pada Januari, peningkatan sebanyak 40.3 peratus, sekali gus mencerminkan tarikan model ini dalam kalangan peminat sedan berprestasi sporty.

Proton X90 sebagai model perdana turut mencatat peningkatan jualan dengan 252 unit terjual, mewakili pertumbuhan 24.1 peratus.
“PROTON mencatat permulaan yang sangat baik pada tahun 2026. Usaha kami memperbaharui barisan produk dengan penawaran enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), serta pendekatan komunikasi teknologi yang lebih jelas untuk setiap model, kini mula menunjukkan hasil positif."
"Banyak lagi yang akan menyusul apabila kami terus mengukuhkan kehadiran pasaran dan memperluaskan aktiviti pengeluaran tempatan bagi memastikan pelanggan menerima kenderaan terbaik pada harga yang kompetitif,” tambah Abdul Rashid Musa.