Bukit Mertajam: Kerajaan Pulau Pinang belum bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) seperti di Kedah dan Perlis, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata kes positif COVID-19 di Pulau Pinang setakat ini, masih di tahap terkawal.
“Setakat ini kita belum sampai ke tahap itu (melaksanakan PKPDB). Apa-apa pun KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan memaklumkan kita, jika adanya keperluan tersebut.
“Justeru, saya menyeru semua rakyat Pulau Pinang supaya amalkan SOP (prosedur operasi standard) seperti yang disarankan oleh kerajaan sehabis baik, kerana kita tidak mampu untuk menghadapi gelombang kedua mahupun ketiga, yang boleh menjejaskan ekonomi dengan lebih parah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Kebun Vanila Pintar Pertama Malaysia di Permatang Pauh Agropark, di sini hari ini.
Semalam, Pulau Pinang mencatatkan satu kes baharu positif COVID-19, melibatkan kes saringan Kluster Tawar kerana mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-9149), selain mempunyai sejarah melawat kes ke-9113 dan kes ke-9129, di sebuah hospital swasta di negeri ini.
Sehingga hari ini, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 126 kes dengan 121 kes sembuh, satu kematian dan lima kes yang masih aktif.
— BERNAMA
