PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan yang dinanti-nantikan membuka tirai di Dataran Putrajaya pagi ini dengan pelbagai acara menarik bagi menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap negara.
Seawal 5 pagi, para peserta sudah mula memenuhi Dataran Putrajaya bagi membuat persiapan terakhir sebelum menyajikan persembahan menarik penuh warna-warni manakala orang ramai pula mula memenuhi tempat duduk penonton sejak tengah malam lagi.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung itu menyajikan pelbagai persembahan bagi menyemarakkan semangat patriotik, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung di Dataran Putrajaya malah mereka yang menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen.
Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri.
Sambutan akan dimulakan dengan istiadat ketenteraan diikuti persembahan pentas dan perarakan warna-warni yang menggambarkan aspirasi Malaysia MADANI sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.
Acara perarakan dan perbarisan melibatkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.
Antara tumpuan ialah penampilan sulung pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dan aset maritim Bot Kelas Ibrahim rekaan Yang di-Pertuan Agong, mengiring perbarisan kontinjen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 memperlihatkan pengisian perbarisan dan perarakan terdiri daripada komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam, keselamatan negara, persembahan udara dan persembahan khas.
Persembahan Rentak MADANI Paluan Tradisi yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), melibatkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air pula menjadi penutup acara berprestij berkenaan.
Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini menasihati pengunjung yang hadir memakai pelitup muka N95 bagi melindungi diri daripada kesan jerebu ketika ini.
Langkah itu selaras dengan nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya terhadap individu berisiko.
Penganjur HKHM 2026 juga mengambil pendekatan menyediakan pelitup muka N95 kepada lebih 10,000 peserta Hari Kebangsaan 2026 bagi memastikan kesihatan mereka pada tahap yang baik.
-- BERNAMA

