Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Quran@114 musim kedua menemui penonton pada setiap hari, bermula dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari sebanyak 366 episod sepanjang tahun.
Istimewanya, rancangan ini bukan sekadar mengajak penonton untuk sama-sama membaca ayat-ayat suci al-Quran, tetapi penonton juga akan didedahkan dengan konsep tadabbur, tafaqquh, tazakkur, dan i’tibar.
Tadabbur merupakan proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan ayat al-Quran. Tafaqquh pula adalah proses memahami ajaran al-Quran. Manakala tazakkur adalah peringatan, nasihat serta teguran. I’tibar pula adalah pertimbangan atau kebijaksanaan dalam berfikir.
Menampilkan para asatizah yang berperanan sebagai pentadabbur seperti Dr. Shamsul Mohd Nor, Imam Muda Hassan, Prof. Dr. Sharifah Hayaati, Ustazah Isfadiah Dusuki, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Hariri dan Ustaz Zarifi, penonton pastinya dibimbing agar mempunyai kefahaman menyeluruh tentang Islam.
Selain itu, para qari dan qariah seperti Tlmiz Fahmi, Ustaz Jalal Zaiki, Ustaz Fahmi Asraf, Ustaz Ammar Mukhliz, Ustaz Husaini Mahmur dan Ustazah Sofizah Mousin akan melantunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan lunak serta dilagukan dengan tarannum berbeza.
Quran@114 beriltizam untuk membuka jalan dan ruang pembelajaran buat penonton untuk mendalami, memahami dan mengaplikasi ajaran al-Quran di dalam kehidupan seharian.
Dr. Shamsul Mohd Nor sebagai contoh, memberikan dimensi ilmiah yang mendalam terhadap cara terbaik memahami al-Quran dalam konteks agama, sejarah dan budaya. Sementara itu, pentadabbur terkemuka seperti Imam Muda Hassan dan Ustazah Isfadiah memberikan perspektif praktis, menghubungkan pemahaman kitab suci dengan kehidupan seharian.
TV AlHijrah berkeyakinan rancangan ini mampu menjadi program yang membawa pengalaman unik dan bermakna buat segenap lapisan masyarakat. Program ini mempelopori cara penyampaian yang inovatif dan interaktif untuk membantu penonton meresapi dan menghayati ajaran Islam secara keseluruhan.