Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rahsia Di Sebalik Bau Buku Lama Yang Unik, Ini Penjelasan Saintis

Azzwin
Kredit: ImageFX

Rahsia Di Sebalik Bau Buku Lama Yang Unik, Ini Penjelasan Saintis

Bagi pencinta buku, tiada nikmat yang lebih indah daripada tenggelam dalam dunia bacaan.

Setiap helaian yang dibuka bukan sekadar membawa cerita baharu, namun membuka ruang untuk belajar, memahami pandangan berbeza dan menambah ilmu pengetahuan,

Namun, ada satu keunikan yang hanya difahami oleh mereka yang benar-benar mencintai buku iaitu bau buku itu sendiri.

Setiap kali memegang dan membuka sebuah buku, ada aroma tersendiri yang menyapa deria. Adakala, bau itu menimbulkan rasa nostalgia atau menghadirkan ketenangan yang sukar dijelaskan.

Buku lama pula punya tarikan yang lebih istimewa. Baunya lembut tetapi mudah dikenal pasti dan seakan membawa kita kembali ke masa silam, di mana setiap halaman menyimpan kenangan dan cerita yang tak lapuk dek waktu.

Justeru, SK kali ini akan kongsikan penjelasan saintis tentang mengapa buku lama mempunyai bau tersendiri, menurut laman perpustakaan University of Colorado Boulder.

Rahsia di sebalik bau buku

Menurut laman perpustakaan University of Colorado Boulder, bau buku boleh mengingatkan kita kepada coklat, kopi, asap, kayu atau vanila. Inilah sebab ada orang membeli lilin dan pewangi yang cuba meniru bau buku.

Difahamkan, bau tertentu boleh mengingatkan kita tentang sesuatu tempat atau saat tertentu.

Dalam artikel “Smell of Heritage: A Framework for the Identification, Analysis and Archival of Historic Odours”, Cecilia Bembibre dan Matija Strlic menjelaskan bahawa bau merupakan sebahagian daripada warisan budaya kita.

Malah, setiap bau ada cerita tersendiri. Dalam konteks ini, bau buku boleh mendedahkan usia, bahan yang digunakan serta tahap ketahanannya.

Dari sudut sains, bau buku berpunca daripada bahan kimia yang dipanggil Volatile Organic Compounds (VOC) atau Sebatian Organik Meruap.

Bahan kimia ini akan terlepas ke udara apabila kertas atau dakwat mula terurai. Jumlah VOC yang dihasilkan pula bergantung kepada kadar penguraian bahan tersebut.

Semakin lama sesuatu buku disimpan, semakin banyak VOC yang dilepaskan ke udara, maka ia menghasilkan bau khas yang sering dikaitkan dengan buku lama.

Selain itu, kadar penguraian kertas juga berbeza-beza bergantung pada bahan yang digunakan untuk membuatnya. Setiap bahan menghasilkan jenis VOC yang berbeza, dan ini menyebabkan bau setiap buku tidak sama.

Tidak semua buku keluarkan bau yang menyenangkan

Jenis serta jumlah VOC yang dikesan boleh membantu pakar pemuliharaan menentukan keadaan, kestabilan dan tahap kerosakan sesuatu buku.

Bagi memudahkan proses ini, mereka menggunakan alat yang dikenali sebagai Roda Bau Buku Bersejarah, yang berfungsi untuk mengklasifikasikan bau berdasarkan bahan kimia dan tahap penguraian, jelas laman perpustakaan University of Colorado Boulder.

Di perpustakaan, para pemulihara sentiasa memantau keadaan buku-buku lama, terutama yang mempunyai nilai sejarah atau keunikan tersendiri. Tujuannya ialah untuk menentukan kaedah terbaik bagi memulihara atau membaikinya.

Namun, tidak semua buku mengeluarkan bau yang menyenangkan. Sebagai contoh, buku yang pernah terkena air atau disimpan di tempat lembap mungkin mengeluarkan bau hapak.

Menurut seorang Pemulihara Perpustakaan Universiti, Hillary Morgan, tiada satu cara yang benar-benar berkesan untuk menghilangkan bau tidak menyenangkan pada buku.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kaedah mudah yang boleh dicuba di rumah.

Antaranya ialah letakkan bahan penyerap bau seperti pasir kucing, arang atau baking soda di dalam bekas besar yang mempunyai penutup.

Kemudian, masukkan buku ke dalam bekas yang lebih kecil dan letakkan bekas kecil itu di dalam bekas besar tadi. Tutup rapat dan biarkan beberapa hari sehingga bau berkurang,” jelasnya.

Namun begitu, Morgan mengingatkan supaya buku tidak bersentuhan secara langsung dengan bahan penyerap bau tersebut. Beliau juga menasihatkan agar kaedah ini tidak digunakan pada buku milik perpustakaan.

BACA: Jangan Panik, Ini Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Sebelum, Semasa & Selepas Banjir

Sumber: University of Colorado Boulder Libraries