Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) berjaya menarik kira-kira 415,000 pengunjung serta menjana anggaran pulangan ekonomi sebanyak RM392.33 juta.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata, festival berkenaan menjadi antara platform penting dalam memperkukuh sektor pelancongan negara selain merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Malaysia merekodkan kehadiran 17.5 juta pelawat, meningkat 3.4 peratus berbanding 16.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, selain di Kuala Lumpur, festival tersebut turut dianjurkan di Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi dengan kos keseluruhan sebanyak RM15 juta hasil kerjasama kerajaan serta sektor swasta.
“Setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan berjaya menjana pulangan ekonomi sekitar RM36.
“Sekiranya festival ini dikenakan bayaran masuk sekitar RM300 seorang, kerajaan berpotensi mengutip sekurang-kurangnya RM75 juta hasil jualan tiket.
“Namun, kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada rakyat sempena Hari Pekerja selain memberi peluang penyertaan lebih meluas,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berhubung sumbangan festival berkenaan kepada sektor pelancongan di bawah kempen VM2026.
King Sing berkata, festival utama di Kuala Lumpur berjaya menarik kira-kira 250,000 pengunjung termasuk 100,000 pelancong asing dari China, Jepun, Bangladesh, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Katanya, penganjuran di enam negeri lain pula mencatatkan kehadiran kira-kira 165,000 pengunjung dengan anggaran pulangan ekonomi sebanyak RM71.9 juta.
Menurut beliau, festival itu turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, hospitaliti dan perusahaan kecil.
“Lot 10 merekodkan peningkatan pengunjung sebanyak 40 peratus dengan jualan meningkat 45 peratus, manakala Sungei Wang Plaza mencatat pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus.
“Selain itu, 63 gerai makanan dan 15 gerai kraf tangan mencatat jualan langsung berjumlah RM388,690 sepanjang festival berlangsung,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 80 hotel di seluruh negara turut menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus dengan kadar penghunian hotel terutama di Kuala Lumpur dan Bukit Bintang hampir mencecah 100 peratus.
King Sing berkata, kementerian turut memastikan elemen budaya tempatan terus diketengahkan menerusi persembahan muzik tradisional, fesyen budaya, permainan tradisional serta makanan warisan.
Beliau berkata, melihat kepada sambutan memberangsangkan dan impak ekonomi yang besar, kementerian menerima pelbagai maklum balas positif agar festival tersebut diteruskan sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa.